Perkenalkan Pendidikan Tamadun, Adat Dan Istiadat Melayu Di Sekolah

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Veteran politik, Tan Sri Dr Rais Yatim berpandangan subjek berkaitan tamadun Melayu termasuk adat, budaya serta falsafah ketamadunan perlu diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berpendapat, ini kerana elemen tersebut sudah termaktub dalam Perlembagaan dan perlu diberi penekanan di sekolah bagi memperkukuh jati diri bangsa.

“Kita sebagai orang Melayu tetapi tidak mengutamakan pendidikan adat istiadat Melayu, dalam Perlembagaan ada tapi di sekolah tiada ada.

“Menteri Pendidikan seharusnya mulai hari ini jadikan subjek tamadun Melayu iaitu adat, budaya Melayu sebagai subjek dalam persekolahan.

“Kaitkan raja dengan rakyat, falsafahnya, sumpah demang lebar daun dalam sejarah Melayu… kerana sejarah Melayu itu mengajar kita.

“Perkara ini tidak ada dalam persekolahan, saya menggesa diwujudkan subjek ini. Cari balik hulu balang antara kita yang boleh berjuang dan menggunakan adat, itu dituntut di perkara 160 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Rais berkata Podcast #HitamPutihKelabu” “Krisis Negeri Sembilan, Di Mana Silapnya?’ yang disiarkan di Facebook UMNO Online.

Mengulas lanjut beliau turut menegaskan bahawa pemimpin Melayu perlu memainkan peranan dalam menghidupkan semula nilai budi dan budaya dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, usaha tersebut amat penting kerana ia turut mempunyai asas dalam perlembagaan serta perjuangan parti politik Melayu.

“Sebab itu saya berpendapat kita sudah kehilangan budi. Sebenarnya tanpa budi Melayu tidak bertamadun, tidak ada tertib. Malah dalam agama Islam kita diajar bertertib.

“Pemimpin Melayu sekarang kena bina dan ajar balik budi dan budaya Melayu.

“Jika tidak rakan-rakan Dap dan MCA dan lain-lain hendak hormat dengan kita?

“Ini penting sangat dan perjuangan ada dalam Perlembagaan parti masing-masing tapi bak kata orang dalam gelap nampak dalam terang hilang,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO