Perkasakan Anak Muda, Perkukuh Masa Depan Koperasi – Abdul Fattah
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Anggota koperasi disaran supaya memberi pendedahan dan pendidikan khususnya kepada generasi muda tentang kepentingan koperasi terhadap pembangunan sosioekonomi ummah.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi mengambil semangat Maal Hijrah dengan membina keazaman serta semangat untuk terus majukan koperasi di samping berusaha untuk menanam rasa cinta generasi muda terhadap koperasi.
“Selain mendidik generasi muda, koperasi juga menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai anggotanya menjadi pengeluar atau usahawan sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada perolehan sedia ada.
“Usaha ini wajar demi memastikan proses menggandakan keupayaan koperasi melalui peningkatan jumlah syer dan sokongan anggotanya lebih terancang dan terjamin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Program ini juga dianjurkan sempena ulang tahun keenam penubuhan Koperasi tersebut yang kebetulan jatuh pada tanggal 1 Muharram 1448H.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO turut mencadangkan agar sambutan ulang tahun koperasi di seluruh negara diraikan bersama ahli keluarga termasuk anak-anak bagi memperkukuhkan kefahaman dan kesedaran mengenai gerakan koperasi dalam kalangan generasi muda.
“Majlis ulang tahun koperasi diraikan bersama ahli keluarga termasuk anak-anak bagi membentuk pendedahan dan pengetahuan yang lebih luas tentang koperasi.
“Melalui penglibatan keluarga, khususnya generasi muda, mereka dapat memahami bagaimana koperasi berfungsi, peranan yang dimainkan dalam pembangunan ekonomi komuniti serta manfaat yang boleh dinikmati oleh anggota,” katanya lagi.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan lima borang keanggotaan baharu koperasi dan acara cabutan bertuah kepada anggota yang hadir.
Turut hadir Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Korporat), Datuk Dr. Mohd Nasiruddin Othman, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Taman Taming Jaya Selangor Berhad, Azizan Abu Che dan barisan Anggota Lembaga Koperasi. – UMNO Online
