Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Langkah Penting Perkukuh Agenda Maju Johor 2030
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyifatkan Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan agenda Maju Johor 2030.
Beliau yang juga pemangku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata ia bukan sekadar sebuah pelan ekonomi, tetapi satu komitmen besar Kerajaan Negeri untuk memastikan pertumbuhan yang dicapai diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh seluruh Bangsa Johor.
“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, Johor telah membuktikan bahawa kestabilan pentadbiran, keberanian membuat keputusan serta pelaksanaan dasar yang jelas mampu menghasilkan pencapaian yang membanggakan.
“Rekod pelaburan RM110 bilion pada tahun 2025, pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan hasil negeri tertinggi dalam sejarah bukan sekadar angka, tetapi menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai agenda rakyat termasuk pembangunan perumahan, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan infrastruktur di seluruh negeri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya lagi selaras dengan aspirasi tersebut, agenda perumahan rakyat terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri dengan lebih 20,000 unit Rumah Mampu Milik Johor telah berjaya disiapkan sejak tahun 2022 dan usaha sedang dipergiat bagi mencapai sasaran 100,000 unit menjelang tahun 2030.
Menurutnya matlamat Kerajaan Negeri jelas iaitu memastikan lebih ramai Bangsa Johor, khususnya golongan muda dan keluarga yang baru membina kehidupan, berpeluang memiliki kediaman yang selesa dan mampu dimiliki.
“Namun bagi Kerajaan Negeri, kejayaan tidak diukur melalui angka semata-mata. Kejayaan sebenar ialah apabila rakyat mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik, menikmati pendapatan yang lebih tinggi, mempunyai akses kepada kemudahan awam yang berkualiti serta dapat membina kehidupan yang lebih sejahtera untuk keluarga mereka.
“JETP turut menegaskan bahawa pembangunan Johor mesti bersifat inklusif dan menyeluruh. Kemajuan tidak boleh hanya tertumpu di beberapa kawasan tertentu, sebaliknya perlu dirasai oleh seluruh Bangsa Johor tanpa mengira daerah, kaum atau latar belakang.
“Tiada daerah yang harus tercicir dan tiada komuniti yang boleh dipinggirkan daripada arus pembangunan negeri,” ujar beliau. – UMNO Online
