Mohamed Khaled Bertemu Jentera Pasir Gudang, Perkukuh Persiapan Hadapi PRN
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah hadir untuk bertemu para jentera yang terdiri daripada Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), Ketua Cawangan dan Ketua-Ketua Sayap UMNO bahagian sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berpandangan bahawa pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk menetapkan gerak kerja parti bagi memastikan seluruh jentera berada dalam keadaan bersedia.

“Hadir di perjumpaan bersama Ketua PDM, Ketua Cawangan dan Ketua-Ketua Sayap UMNO Bahagian Pasir Gudang.
“Pertemuan sebagai satu penetapan kerja, sesi perkongsian maklumat, analisis politik semasa dan penilaian perkembangan isu-isu semasa bertujuan menyiapkan hentera menghadapi PRN Johor,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kekuatan parti sentiasa terletak kepada kesatuan dan semangat kebersamaan.
“Kekuatan Barisan Nasional (BN) sentiasa terletak pada kesatuan saf, semangat kebersamaan dan komitmen seluruh jentera dalam memperkukuh sokongan rakyat terhadap perjuangan parti.
“Insya-Allah, dengan matlamat dan semangat yang sama, BN akan terus melangkah ke hadapan sebagai wadah yang membawa kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 12 Jun 2026, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan dibuat secara berasingan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai.
Manakala, tarikh pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pula ditetapkan pada 1 Ogos.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN Johor masing-masing ditetapkan pada 27 Jun dan 7 Julai.
Bagi penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pula masing-masing ditetapkan pada 18 Julai dan 28 Julai. – UMNO Online
