Kad Sahabat DZR1 Bantu Rakyat Manfaatkan AI, Perkukuh Pendidikan Digital
KOTA TINGGI, 18 Jun – Komitmen memastikan rakyat, khususnya pelajar dan keluarga di luar bandar, tidak ketinggalan dalam era pendigitalan terus diperkasakan menerusi pelancaran Kad Sahabat DZR1 sempena Program Kempen Kesedaran dan Pencegahan Buli Siber di Dewan Kejora Bandar Tenggara.
Ahli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, berkata inisiatif tersebut diwujudkan bagi memberi peluang sama rata kepada rakyat untuk menikmati manfaat teknologi, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan serta kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata, Kad Sahabat DZR1 menyediakan pelbagai kemudahan digital kepada pelajar termasuk pembantu kecerdasan buatan (AI) sebagai tutor digital 24 jam, sokongan pembelajaran, saluran laporan buli siber secara sulit, bimbingan kerjaya serta bahan pembelajaran yang mudah diakses.

“Kerajaan mahu memastikan anak-anak di luar bandar mendapat peluang yang sama untuk menguasai teknologi dan menikmati kemudahan pendidikan digital seperti rakan-rakan mereka di bandar. Tiada rakyat yang harus tercicir daripada arus kemajuan digital,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar, malah memberi ketenangan kepada ibu bapa apabila anak-anak dapat menggunakan teknologi dalam persekitaran yang lebih selamat, beretika dan terkawal.
Pada masa sama, penubuhan Kelab Sahabat DZR1 menjadi platform untuk membina budaya digital yang sihat dalam kalangan pelajar melalui aktiviti literasi AI, kesedaran keselamatan siber serta kempen mencegah buli di sekolah.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan digital perlu memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat tanpa mengira lokasi, selaras dengan usaha kerajaan memperkasa modal insan dan merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
Program anjuran Pejabat Parlimen Tenggara itu turut menghimpunkan kerjasama pelbagai agensi, institusi pendidikan dan rakan teknologi sebagai usaha memastikan agenda pendigitalan benar-benar memberi impak kepada kehidupan rakyat.
Inisiatif tersebut juga dilihat berpotensi diperluaskan ke kawasan Parlimen lain sebagai model memperkasa pendidikan digital, meningkatkan literasi AI dan melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berakhlak serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital negara. – UMNO Online
