Maal Hijrah Ajar Perubahan Melalui Keimanan, Perpaduan dan Keyakinan Masa Depan – Azalina
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjadikan semangat Maal Hijrah sebagai pemangkin kepada perubahan positif berasaskan keimanan, perpaduan dan keyakinan dalam menghadapi cabaran semasa.
Menurut beliau, sambutan 1 Muharram atau Maal Hijrah mengingatkan umat Islam kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang menyaksikan kejayaan Baginda membina sebuah masyarakat berteraskan nilai murni, keadilan, saling menghormati serta kehidupan harmoni dalam kepelbagaian.

Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata, peristiwa hijrah mengandungi pengajaran yang sentiasa relevan kerana perubahan besar tidak hanya bergantung kepada kekuatan semata-mata, sebaliknya memerlukan keimanan yang kukuh, kesabaran, perpaduan dan keyakinan terhadap masa depan yang lebih baik.
“Ketika dunia berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, kita juga perlu berhijrah daripada perpecahan kepada perpaduan, daripada prasangka kepada persefahaman, dan daripada sikap selesa kepada usaha memperbaiki diri serta masyarakat,” katanya dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1448H.
Azalina turut mengajak rakyat menghayati tema Sambutan Maal Hijrah 1448H, “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, dengan mengamalkan nilai integriti, ihsan, hormat-menghormati dan tanggungjawab dalam usaha membina negara yang lebih aman, adil dan sejahtera.
Beliau berharap kedatangan tahun baharu Hijrah 1448H akan membawa rahmat, kesejahteraan serta harapan baharu kepada seluruh rakyat Malaysia, di samping memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam menghadapi masa depan negara. – UMNO Online
