Kerjasama Erat FELDA, Kepimpinan Masyarakat dan Agensi Kerajaan Kunci Pembangunan Komuniti

BENTONG, 17 Jun – Hubungan erat antara pihak FELDA, kepimpinan masyarakat dan agensi kerajaan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan komuniti setempat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Perkara tersebut dizahirkan dalam pertemuan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohd Zaini Salleh bersama Pengurus FELDA Mempaga 1, Mohamad Ikmal Hakim Zainal Abidin dan Ketua UMNO Cawangan FELDA Mempaga 1, Mohd Mohidin Osman yang berlangsung di FELDA Mempaga 1 secara santai baru-baru ini.

Pertemuan itu menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan kawasan, kebajikan penduduk serta usaha memperkukuhkan kerjasama antara institusi yang memainkan peranan besar dalam pembangunan komuniti FELDA.

Dalam sesi tersebut, beberapa perancangan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak FELDA, termasuk program penanaman semula kelapa sawit yang dijangka memberi manfaat kepada para peneroka dalam jangka panjang dibincangkan.

Mohd Zaini yang juga Senator Dewan Negara berkata, kejayaan sesuatu pembangunan tidak hanya bergantung kepada satu pihak, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama berterusan daripada semua pihak berkepentingan.

“Hubungan yang kukuh antara pihak FELDA, kepimpinan masyarakat dan agensi kerajaan merupakan asas penting dalam memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat.”

Beliau menambah, pendekatan secara bersama itu membolehkan isu dan keperluan masyarakat dikenal pasti dengan lebih cepat, sekali gus memudahkan penyelesaian yang lebih menyeluruh.

“Apabila semua pihak bergerak seiring dan saling bekerjasama, segala perancangan pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar. Matlamat kita adalah untuk memastikan komuniti FELDA terus menikmati pembangunan yang mampan dan kualiti hidup yang lebih baik.”

Menurut beliau, semangat permuafakatan yang terjalin antara FELDA, pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan perlu terus dipelihara kerana ia menjadi pemangkin utama kepada kemajuan serta kesejahteraan penduduk setempat.

Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama demi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan, selaras dengan aspirasi untuk mewujudkan komuniti yang lebih sejahtera dan berdaya maju. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO