Anugerah Tokoh Maal Hijrah Jadi Inspirasi Perkasa Ummah – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M atas sumbangan besar mereka dalam memperkasa umat Islam serta memartabatkan ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan penghargaan negara terhadap individu yang telah memberikan jasa besar dalam menyebarkan nilai-nilai Islam yang membawa rahmat, hikmah dan manfaat kepada masyarakat.

“Pengiktirafan ini mencerminkan sumbangan besar yang telah dicurahkan dalam memperkasa umat, mengangkat martabat ilmu serta menyebarkan nilai-nilai Islam yang membawa rahmat, hikmah dan manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Ma’al Hijrah 1448H.
Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar yang menerima Anugerah Tokoh Kebangsaan dan Prof. Sheikh Dr. Ahmad Al-Raysuni yang menerima Anugerah Tokoh Antarabangsa.
Menurut beliau, pencapaian kedua-dua tokoh berkenaan wajar dijadikan contoh kepada generasi masa kini untuk terus menuntut ilmu, berbakti kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ummah.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus menimba ilmu, berbakti kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ummah, negara serta peradaban Islam,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia mengambil semangat hijrah sebagai landasan untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik demi kemajuan diri, masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1448H kepada seluruh umat Islam serta berharap sambutan tahun baharu Islam itu dapat memperkukuh perpaduan, nilai kemanusiaan dan semangat membina masyarakat yang lebih sejahtera. – UMNO Online
