Jangan Label BN Gila Kuasa, Yang Penting Mandat Rakyat Bukan Persepsi Politik – Aznan Tamin

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Barisan Nasional (BN) Johor tidak pernah menafikan hak mana-mana parti untuk bertanding dan dalam demokrasi setiap parti berhak menawarkan pilihan kepada rakyat.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Aznan Tamin berkata, jangan pula apabila BN Johor menyatakan kesediaan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ia terus dilabel sebagai gila kuasa, memecah perpaduan atau mencetuskan ketegangan politik.

Beliau yang juga bekas ADUN Tanjung Surat menegaskan bahawa pendirian BN Johor adalah jelas dan mahu mendapatkan mandat baharu yang kuat dan stabil daripada rakyat Johor.

“Mandat ini penting bagi memastikan pentadbiran negeri dapat terus berjalan dengan yakin, pembangunan dapat diteruskan dan kepentingan rakyat tidak terganggu oleh percaturan politik yang berpanjangan.

“Kerjasama di peringkat Persekutuan wajar dihormati. Namun, landskap politik negeri mempunyai realiti, mandat dan pertimbangannya yang tersendiri. Johor bukan sekadar medan kira-kira politik parti tetapi sebuah negeri yang memerlukan kerajaan stabil, berpengalaman dan mampu bekerja untuk rakyat.

“Dalam soal pembangunan seperti KTM Komuter, RTS Link atau projek berkepentingan rakyat yang lain, BN Johor sentiasa bersikap profesional. Pembangunan bukan milik mana-mana parti politik dan ia adalah amanah kerajaan kepada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Aznan yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menjelaskan rakyat boleh berbeza warna politik tetapi jangan sampai perbezaan itu dijadikan alasan untuk mempolitikkan setiap usaha pembangunan.

“Rakyat tidak mahu drama politik yang berulang. Rakyat mahu jalan yang siap, pengangkutan yang baik, akses pendidikan yang adil, peluang kerja yang bertambah, ekonomi yang berkembang dan kerajaan yang stabil.

“Hentikan naratif bahawa BN Johor memusuhi sesiapa. Yang BN Johor pertahankan ialah prinsip, kestabilan dan masa depan negeri. PRN Johor adalah medan demokrasi. Biar rakyat menilai siapa yang benar-benar mempunyai rekod, pengalaman dan keikhlasan untuk membawa Johor ke hadapan.

“Politik ada musimnya… tetapi tanggungjawab membela rakyat Johor berjalan setiap masa. Inilah cara Johor, dan inilah yang BN Johor akan sentiasa pertahankan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Aznan menegaskan bahawa tindakan Dap membuktikan semua parti kini sedang bersiap sedia menghadapi PRN, dan bukannya hanya BN Johor seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.

“Dap akan mengumumkan calon bagi menghadapi PRN Johor membuktikan satu perkara yang sangat jelas… semua parti telah bersedia untuk bertanding dan menyerahkan mandat kembali kepada rakyat.

“Justeru, tidak perlulah ada mana-mana pihak cuba memainkan naratif seolah-olah BN Johor sahaja yang mahu menghadapi pilihan raya, atau kononnya BN Johor menjadi punca ketidakharmonian politik,” jelasnya.

Hakikatnya kata beliau, Dap sendiri sudah bersedia mengumumkan calon lebih awal, maka jangan pada masa yang sama cuba membawa watak sebagai “mangsa politik” atau “rakan yang dikhianati”, sedangkan mereka juga sedang menyusun strategi, memilih calon dan bersedia turun ke gelanggang demokrasi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO