BN Tampin Perkemas Gerak Kerja Jentera Hadapi PRN Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meneruskan gerak kerja di kawasan itu dengan mempengerusikan Mesyuarat Khas Barisan Nasional (BN) Tampin bersama kepimpinan parti komponen sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tampin berkata pelbagai perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Khas BN Tampin bersama kepimpinan parti komponen, khususnya melibatkan penyelarasan gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat.
“Saya hadir dan mempengerusikan Mesyuarat Khas Barisan Nasional (BN) Tampin malam tadi bersama kepimpinan parti komponen bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan gerak kerja dan persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Perbincangan yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat ini membuktikan komitmen seluruh jentera untuk terus memperkukuh kerjasama serta memastikan BN Tampin sentiasa bersedia berkhidmat kepada rakyat.
“Insya-Allah, dengan kesepakatan dan semangat kebersamaan yang ada, kita akan terus melangkah ke hadapan demi kestabilan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu menerusi hantaran terdahulu beliau turut menzahirkan komitmen berterusan terhadap agenda pendidikan di kawasan Parlimen Tampin menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025.
Menurut beliau, inisiatif seumpama itu bukan sahaja memberi penghargaan kepada pencapaian pelajar, malah turut berperanan sebagai dorongan moral untuk mereka terus melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Tampin pada Jumaat lepas. Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para pelajar, sokongan ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik.
“Semoga sumbangan yang disampaikan dapat memberi sedikit dorongan dan semangat kepada para pelajar untuk terus melakar kejayaan di peringkat yang lebih tinggi. Kepada semua pelajar, teruskan berusaha, kejar cita-cita dan jadilah insan yang dapat memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara,” ujar beliau.
Dalam pada itu Mohd Isam turut sama memperlihatkan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan sokongan akar umbi apabila menyalurkan peruntukan Mesra Rakyat kepada sekolah, NGO serta persatuan di Parlimen Tampin.
Menurut beliau, penyaluran peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan pelbagai pihak di peringkat akar umbi terus diperkasa dalam melaksanakan aktiviti komuniti.
“Alhamdulillah, minggu lepas saya berkesempatan menyampaikan peruntukan Mesra Rakyat serta sumbangan tunai kepada sekolah, NGO dan persatuan di kawasan Parlimen Tampin.
“Keseluruhan peruntukan dan sumbangan yang disalurkan pada kali ini berjumlah lebih RM231,000 sebagai tanda sokongan kepada pelbagai aktiviti pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
“Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kepentingan masyarakat dan membantu memperkasakan peranan sekolah, NGO serta persatuan dalam memberikan khidmat kepada rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online
