Biadab Dan Tidak Bermaruah, Gelaran “Undang Kelima” Hina Institusi Tertinggi Adat – Suhaimizan

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Suhaimizan Bizar menyifatkan tindakan menggelarkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai “Undang Kelima” adalah sebagai satu tindakan biadab yang mencalar maruah Institusi Undang dan adat Negeri Sembilan.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh menegaskan, gelaran berkenaan bukan sekadar gurauan politik, sebaliknya kegagalan sesetengah pihak memahami batas penghormatan terhadap institusi yang menjadi teras pemerintahan adat di Negeri Sembilan.

“Sepatutnya Institusi Undang tidak patut dipersendakan kerana Institusi Adat adalah yang paling tinggi martabatnya dalam Negeri Sembilan. Demi meraih tepukan politik sementara, jangan sampai maruah institusi yang menjadi kebanggaan rakyat Negeri Sembilan dijadikan korban.

“Jika Raja dan Institusi Undang boleh dipersenda hari ini tanpa sebarang tindakan, maka jangan hairan apabila generasi akan datang melihat adat Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang tidak lagi perlu dihormati.

“Penghinaan terhadap institusi yang menjadi tonggak kedaulatan negeri bukan isu kecil yang boleh ditutup dengan alasan gurauan atau retorik politik murahan. Lebih malang, jika perkara ini dibiarkan, ia seolah-olah memberi “lessen” kepada mana-mana pihak untuk terus memperlekehkan warisan yang telah dipertahankan turun-temurun oleh anak Negeri Sembilan,” katanya kepada UMNO Online.

Suhaimizan juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tampin berkata, rakyat Negeri Sembilan yang memahami sejarah, nilai dan kedudukan Institusi Undang sudah pasti melihat perbuatan tersebut sebagai satu penghinaan yang tidak boleh dipandang ringan.

“Lebih menyedihkan, penghinaan ini berlaku secara terbuka di hadapan khalayak ramai seolah-olah perkara tersebut normal dan boleh diterima. Hakikatnya, rakyat Negeri Sembilan yang memahami nilai adat pasti melihat tindakan ini sebagai satu penghinaan yang tidak boleh dipandang ringan.

“Jika hari ini gelaran Undang boleh dipermainkan demi meraih sorakan politik, apakah jaminan bahawa esok lusa institusi adat yang lain tidak akan menerima nasib yang sama? Perkara seperti ini tidak boleh dinormalisasikan kerana ia menghakis rasa hormat terhadap institusi yang menjadi kebanggaan rakyat Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan berpolitik tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan institusi adat yang selama ini menjadi simbol perpaduan, identiti dan kedaulatan negeri.

“Mana-mana pihak yang benar-benar menghormati adat dan budaya tempatan seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan serta tidak menjadikan institusi berkenaan sebagai alat propaganda politik demi meraih keuntungan sementara,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO