Pelawaan Anthony Loke Dipersoal, Hairi Dakwa Ada Agenda Tersirat
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hairi Mad Shah menegaskan, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Johor tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai polemik politik.
Tegasnya, memilih untuk tidak mendedahkan atau memperbesarkan perkara-perkara seperti ini kepada umum kerana keutamaan kami adalah pembangunan negeri dan kebajikan rakyat khususnya Bangsa Johor.
“Tetapi, semalam Anthony Loke berpura-pura menunjukkan keterbukaan mempelawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk duduk dan naik tren bersama, inilah sandiwara dan wayang politik yang cuba dimainkan.
“Hakikatnya, banyak program dan lawatan rasmi yang melibatkan kementerian beliau di Johor sebelum ini tidak pernah melibatkan ataupun menjemput secara rasmi YAB Menteri Besar Johor mahupun wakil Kerajaan Negeri.
“Apabila kini pelawaan dibuat secara terbuka kepada Kerajaan Negeri Johor, saya tertanya-tanya di manakah kejujuran dan konsistensi dalam usaha untuk benar-benar bekerjasama dan duduk semeja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Hairi mengingatkan bahawa landskap politik Johor mempunyai realiti tersendiri. Selepas Pilihan Raya Negeri Johor 2022.
“Barisan Nasional (BN) telah diberikan mandat yang jelas oleh rakyat dengan kemenangan 40 daripada 56 kerusi DUN. Kerajaan Negeri Johor dibentuk atas kekuatan dan mandat tersebut.
“Sepanjang tempoh pentadbiran ini, tidak wujud sebarang bentuk perkongsian kuasa dalam pentadbiran negeri bersama Dap. Tiada pelantikan Ketua Kampung, Ahli Majlis mahupun jentera pentadbiran negeri daripada parti tersebut. Ini adalah fakta yang perlu difahami semua pihak.
“Politik memang dinamik. Tetapi politik yang matang menuntut profesionalisme dan rasa hormat terhadap institusi serta kerajaan yang dipilih rakyat. Jika benar ikhlas mahu bekerjasama, gunakan saluran yang betul seperti jemputan rasmi, semangat saling menghormati, bukannya sekadar kenyataan terbuka yang lebih berbau retorik politik daripada keikhlasan,” katanya lagi.
Tambah beliau, Johor sentiasa mengamalkan budaya muafakat dan profesionalisme.
“Biarlah kerjasama itu lahir daripada keikhlasan dan rasa hormat, bukan sekadar retorik politik untuk meraih perhatian,” ujarnya.
Terdahulu, kenyataan YB Anthony Loke semalam yang mengajak YAB Menteri Besar Johor menaiki DRT bersama-sama.
Beliau turun meninjau dan melawat projek RTS Link bersama dengan jentera Dap, tidak sekali pun menjemput Menteri Besar Johor. – UMNO Online
