Angkasa Serah Lapan Resolusi Perkasa Gerakan Koperasi – Abdul Fattah
PETALING JAYA, 13 Jun – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyerahkan lapan resolusi kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 dalam usaha memperkukuh peranan gerakan koperasi sebagai pemangkin ekonomi negara.
Resolusi tersebut diserahkan Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin sempena Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 bertemakan ‘Koperasi Pemangkin Ekonomi Madani’.
Menurutnya, peranan koperasi diiktiraf di peringkat global sebagai antara penyelesaian berkesan dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Kita mewakili lebih 7.3 juta anggota koperasi, iaitu hampir separuh rakyat Malaysia. Bila bercakap mengenai ekonomi rakyat, kita juga bercakap mengenai ekonomi koperasi.
“Setiap tahun kita terlibat dalam sesi konsultasi belanjawan, namun hasil yang diperoleh sebelum ini agak mengecewakan.
“Sebab itu kali ini kita menganjurkan konvensyen bagi menunjukkan kesungguhan gerakan koperasi dalam mengemukakan cadangan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO menjelaskan, perolehan gerakan koperasi negara kini mencecah RM81.62 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Koperasi Malaysia (DAKoM) 2030.
“Secara tidak langsung ujarnya, pencapaian itu membuktikan koperasi semakin berperanan sebagai pemacu ekonomi rakyat dan perlu diarusperdanakan sebagai rakan pelaksana utama kerajaan dalam sektor ekonomi rakyat, keterjaminan makanan, ekonomi digital serta pembangunan komuniti luar bandar.
“Sudah tiba masanya pendekatan terhadap sektor koperasi diperkukuh daripada sekadar pendekatan sokongan kepada pendekatan pengupayaan strategik dalam pelaksanaan agenda ekonomi negara.
“Melalui konvensyen ini, kita mahu buktikan kepada kerajaan bahawa sektor koperasi serius dalam memacu ekonomi dan berharap permohonan instrumen kewangan seperti matching grant mahupun micro-financing dapat dipertimbangkan secara serius,” katanya lagi.
Sementara itu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan meneliti lapan resolusi yang dikemukakan gerakan koperasi negara sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan dalam Belanjawan 2027.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin menegaskan, resolusi itu akan diperhalusi di peringkat kementerian bagi memastikan setiap cadangan mempunyai justifikasi yang kukuh.
“Kita akan bincang di peringkat kementerian terlebih dahulu dan memperhalusi segala yang telah dicadangkan termasuk (dana) RM500 juta yang dipohon, sebelum kita serahkan kepada MOF,” ujarnya. SH Online
