Rumah Bangsa Terus Jadi Pilihan, 21,858 Sertai UMNO Termasuk Bekas Pimpinan PPBM

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan seramai 21,858 kemasukan ahli baharu dicatatkan dalam tempoh kurang dua bulan sejak sistem pendaftaran atas talian diperkenalkan.

Beliau berkata penyertaan tersebut termasuk keahlian baharu dan penyertaan semua bekas pemimpin UMNO yang sebelum ini bersama PPBM.

“Sejak secara rasmi pendaftaran secara atas talian dibuka pada 20 April 2026, sehingga Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO 10 Jun 2026, dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas-bekas pimpinan dan ahli-ahli parti UMNO termasuk pimpinan parti Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858.

“Moga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang 8 dekad di persada perjuangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menerusi infografik yang dikongsi beliau setakat hari ini antara figura yang kembali kepada UMNO ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Mustapha Mohamed, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Datuk Mokhtar Samad.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 mengumumkan gagasan ‘Rumah Bangsa’. Beliau berkata ia merupakan satu pendekatan baharu yang menzahirkan UMNO sebagai wadah perjuangan yang terbuka, inklusif dan mampu menyatukan seluruh keluarga besar parti.

Rumah Bangsa membawa mesej bahawa UMNO sentiasa mengalu-alukan kepulangan bekas ahli serta penyertaan generasi baharu yang ingin bersama-sama meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO