Jalaluddin Fokus Untuk Rakyat, Santuni Kepimpinan Masjid Dan Tangani Aduan Penduduk
JELEBU, 12 Jun – Komitmen UMNO dalam memperjuangkan kebajikan rakyat terus diterjemahkan melalui tindakan proaktif pimpinan parti di peringkat akar umbi apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, turun padang menyantuni masyarakat dan menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk setempat.
Jalaluddin yang juga penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang telah menghadiri Majlis Perjumpaan Kepimpinan Masjid Peringkat Parlimen Jelebu yang berlangsung di Dewan Kompleks UMNO Jelebu, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa institusi masjid memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu, berilmu dan berakhlak serta menjadi medium penyatuan umat Islam di kawasan setempat.
Katanya, kepimpinan masjid merupakan rakan strategik kepada kerajaan dan wakil rakyat dalam memastikan pelbagai agenda pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah menjadi pusat pembangunan ummah yang perlu terus diperkasakan. Justeru, kerjasama erat antara kepimpinan masjid dan masyarakat perlu dipertingkatkan demi manfaat bersama,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan masjid atas komitmen dan dedikasi yang diberikan dalam mengimarahkan institusi masjid serta memperkukuhkan syiar Islam di daerah Jelebu.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan pemantauan ke Kilang ASP Greentech di Simpang Pertang susulan aduan penduduk mengenai masalah pencemaran bau yang menimbulkan ketidakselesaan kepada komuniti sekitar.
Beliau berkata, setiap aduan rakyat perlu diberikan perhatian serius dan tindakan segera demi memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.
“Saya sentiasa mengambil berat setiap isu yang dibangkitkan oleh masyarakat. Lawatan ini bertujuan memastikan pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi
menangani masalah yang dihadapi penduduk,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama antara agensi kerajaan, pihak industri dan masyarakat amat penting dalam mencari penyelesaian terbaik agar keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai. – UMNO Online
