Perkukuh Syiar Islam Perlukan Kebijaksanaan, Sepakat… Bukan Modal Serangan Politik
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pemangku Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Buntar, Razman Ismail berpandangan isu penjualan arak di kawasan majoriti Muslim yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong perlu secara berhemah dan berpandukan fakta, dengan tidak menjadikannya sebagai bahan polemik politik.
Beliau berkata demikian sebagai mempersoal tindakan ADUN tersebut yang membawa isu tersebut sebagai persepsi politik berbanding membahaskan perkara tersebut ke DUN.
“Dalam memperjuangkan sesuatu isu, kita juga perlu berlaku adil dan berteraskan fakta, bukan sekadar membina persepsi politik. Jika benar YB ingin mengetahui status kajian yang dicadangkan sebelum ini, saluran yang paling tepat ialah membawa perkara tersebut secara rasmi ke Dewan Negeri, mengemukakan soalan kepada kerajaan negeri atau mendapatkan penjelasan terus daripada pihak berkuasa tempatan.
“Itulah fungsi seorang Ahli Dewan Negeri. Apa yang menghairankan, mengapa isu ini hanya dibangkitkan dalam bentuk kenyataan politik yang panjang lebar, lengkap dengan pelbagai andaian dan insinuasi, tetapi tidak disertakan fakta terkini mengenai status sebenar kajian tersebut?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Razman lagi, lebih mendukacitakan apabila isu yang sepatutnya menyatukan umat Islam dijadikan medan untuk menyerang pihak tertentu dan mengaitkan segala-galanya dengan politik kepartian.
Katanya meskipun berbeza parti isu agama tidak seharusnya dijadikan bahan untuk menimbulkan persepsi bahawa hanya satu pihak sahaja yang memperjuangkan Islam, manakala pihak lain pula kononnya menghalang usaha tersebut.
“Hakikatnya, memperkukuh syiar Islam memerlukan kebijaksanaan, rundingan, penguatkuasaan undang-undang serta kesepakatan masyarakat. Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan kenyataan media atau slogan politik.
“Rakyat hari ini semakin matang. Mereka tidak hanya mahu mendengar siapa yang paling lantang bercakap, tetapi mahu melihat siapa yang benar-benar bekerja, membawa cadangan yang praktikal dan menghasilkan penyelesaian.
“Mempertahankan prinsip itu penting. Tetapi prinsip yang diperjuangkan mestilah disandarkan kepada fakta, kejujuran dan tanggungjawab, bukan persepsi dan sentimen semata-mata,” ujar beliau. – UMNO Online
