Isu Surat Berbahasa Cina Berlaku Semasa Pakatan Harapan Tadbir Johor – Mohd Jafni
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan surat rasmi yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menggunakan Bahasa Cina seperti yang tular di media sosial bukan surat baharu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai berkata, ini kerana surat tersebut berlaku pada tahun 2018 ketika Johor berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Surat yang tular itu sendiri menunjukkan nama Cheo Yee How, ADUN Perling daripada Dap ketika itu, sebagai antara pihak yang terlibat dalam program berkenaan.
“Susulan kejadian tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah bertitah dengan tegas bahawa segala urusan surat-menyurat rasmi yang melibatkan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
“Titah Baginda amat jelas dan menjadi pedoman kepada seluruh jentera pentadbiran negeri sehingga ke hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jafni berkata isu tersebut sengaja dibangkitkan kembali untuk menggambarkan seolah-olah ia berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut beliau Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar sentiasa menjunjung titah Sultan Johor serta menghormati dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua urusan pentadbiran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan semula maklumat lama tanpa konteks yang tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Fakta yang jelas menunjukkan kejadian tersebut berlaku pada tahun 2018 semasa Johor ditadbir oleh PH. Fakta perlu disemak dengan teliti supaya masyarakat mendapat gambaran yang benar mengenai sesuatu isu.
“Penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi bukan sekadar memenuhi kehendak undang-undang, malah merupakan tanda penghormatan kepada Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada negeri dan negara,” ujar beliau. – UMNO Online
