Gendang PRN Johor Telah Dipalu, Masa Depan Negeri Di Tangan Pengundi – Haslinda Salleh

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Suhu politik negeri Johor semakin hangat apabila gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dipalu, sekali gus menandakan bermulanya persaingan parti-parti politik yang bersiap siaga untuk meraih sokongan rakyat, kata Exco Wanita UMNO Malaysia, Haslinda Salleh.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor berkata, pelbagai persiapan yang telah dan sedang rancak digerakkan oleh Barisan Nasional (BN) serta parti-parti politik lain bagi memastikan kesiapsiagaan jentera masing-masing menjelang PRN Johor.

Jelasnya, kelompok pengundi muda dijangka menjadi antara faktor paling utama dalam mencorakkan corak pengundian serta menentukan keputusan kali ini.

“PRN kali ini juga menyaksikan peranan penting golongan pengundi muda yang semakin bertambah susulan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18. Ianya sekali gus menjadikan kelompok penentu utama dalam mencorakkan landskap politik serta hala tuju negeri pada masa hadapan.

“Anak-anak muda mempunyai peranan besar dalam menentukan masa depan negeri ini. Buatlah pilihan yang tepat agar kesinambungan pembangunan, kemajuan dan kestabilan Johor dapat diteruskan demi kesejahteraan “Bangsa Johor” dan generasi akan datang.

“Selain itu, masyarakat Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum dijangka menjadi faktor penting dalam menentukan corak pengundian serta hala tuju pentadbiran negeri pada masa hadapan,” katanya menerusi satu hantaran kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Haslinda juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis menjelaskan, keputusan BN untuk bertanding secara solo menjadi tumpuan utama pemerhati politik kerana ia dilihat sebagai medan menguji kekuatan serta pengaruh parti tersebut di bumi Johor.

“PRN Johor bukan sekadar medan persaingan antara parti-parti politik, malah menjadi penentu kepada kerajaan negeri yang bakal menerajui Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Dengan pelbagai isu yang dekat di hati rakyat seperti pembangunan ekonomi, kos sara hidup dan kestabilan politik, pengundi dijangka membuat pilihan secara lebih matang dan rasional berdasarkan rekod perkhidmatan BN,” katanya lagi.

Tambah Haslinda, rakyat perlu bijak menilai kepentingan jangka panjang berbanding terpengaruh dengan sentimen yang tidak membawa sebarang manfaat kepada negeri.

“Johor ada caranya. Johor ada prinsipnya. Demi masa depan Bangsa Johor, marilah kita bersama-sama membuat pilihan yang bijak demi memastikan negeri yang kita cintai ini terus maju, makmur dan sejahtera.

“Marilah bersama-sama mempertahankan kestabilan yang telah dibina, dan memastikan setiap lapisan masyarakat terus menikmati manfaat pembangunan yang dirancang demi kemajuan Johor yang berterusan,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO