Sabah Perkukuh Tadbir Urus Pelancongan, Tumpu Isu Penguatkuasaan Dan Keselamatan

KOTA KINABALU, 10 Jun – Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus diperkukuh dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan Sabah yang dilihat sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.

Perkara itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man ke atas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin yang juga ADUN Sukau, dalam satu pertemuan yang disifatkan sebagai konstruktif dan penuh komitmen bersama.

Jafry menegaskan bahawa kerajaan negeri komited memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan serta peningkatan standard operasi.

Ujarnya yang juga Ketua UMNO Sabah, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh tadbir urus sektor pelancongan negeri, termasuk tindakan tegas terhadap pengendali pelancongan tidak berlesen, selain menangani isu berbangkit di kawasan tumpuan pelancong seperti Pulau Mengalum.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh aspek penguatkuasaan, keselamatan dan kelestarian pelancongan bagi memastikan Sabah kekal kompetitif serta selamat untuk pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

Jelasnya menerusi perbincangan terbabait, ditegaskan bahawa komitmen MOTAC dalam menyokong pembangunan industri pelancongan Sabah melalui pendekatan lebih menyeluruh termasuk penambahbaikan infrastruktur sokongan dan kecekapan operasi.

Beliau berkata, antara fokus utama yang dibincangkan termasuk memperluaskan sambungan penerbangan, menyemak semula kos berkaitan sektor maritim serta memperkukuh kehadiran pegawai MOTAC di peringkat daerah seperti di Semporna bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih berkesan di lapangan.

“Pendekatan turun padang dan penyelarasan lebih rapat antara Persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan setiap isu dapat ditangani dengan lebih pantas dan efektif,” katanya.

Isu kos bahan api yang meningkat serta memberi kesan kepada pengusaha bot pelancongan turut dibangkitkan, dengan kedua-dua pihak bersetuju bahawa mekanisme bantuan dan sokongan wajar diperkukuh bagi memastikan kelangsungan industri.

Dalam pada itu, aspek keselamatan pelancongan turut diberikan perhatian serius dengan penekanan terhadap penambahbaikan serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Ujar Jafry, kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk menubuhkan dan menggerakkan pasukan khas bagi menangani cabaran operasi serta memperkukuh ekosistem pelancongan Sabah agar lebih tersusun, berdaya saing dan mampan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO