PTPTN Terus Prihatin, RM60.1 Juta Disalur Untuk Persediaan Awal Pelajar – Norliza
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara menerusi penawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 kepada setiap pelajar baharu yang layak bagi sesi kemasukan Jun 2026.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kemudahan itu disediakan bagi membantu pelajar menampung sebahagian kos persediaan awal sebelum memulakan pengajian di Universiti Awam (UA) dan Politeknik, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.
Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan PTPTN dalam memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dalam keadaan lebih bersedia, teratur dan selesa.
“WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah bersetuju menerima kemudahan ini semasa membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan universiti awam.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 1999 sehingga 30 April 2026, seramai 999,838 pelajar telah menerima manfaat WPP dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.48 bilion.
“Penawaran WPP akan memberi manfaat kepada seramai 40,099 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Diploma di UA dan Politeknik bagi kemasukan sesi Jun 2026 melibatkan peruntukan berjumlah RM60.1 juta,” katanya.
Tambah beliau, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 10 Jun dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan), tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 10 Jun hingga 9 Ogos.
Mengulas lanjut, Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia menjelaskan, PTPTN sentiasa mengutamakan agenda pemerkasaan pendidikan tinggi dengan memastikan akses kepada pengajian dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat.
“PTPTN sentiasa komited untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Inisiatif pemberian WPP PTPTN ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki UA dan Politeknik,” katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi PTPTN turut menyantuni seorang pelajar yang menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) menerusi sesi ziarah ke kediamannya di Pulau Pinang. Beliau diiringi Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengarah Negeri PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman serta beberapa pegawai PTPTN.
Sementara itu, PTPTN mengingatkan pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan agar mengemukakan permohonan secara dalam talian menerusi aplikasi myPTPTN mengikut jadual yang ditetapkan oleh universiti awam (UA) dan politeknik masing-masing bagi memastikan proses kelulusan berjalan lancar.
Pelajar juga diwajibkan mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka dengan mudah melalui aplikasi myPTPTN.
Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar di institusi masing-masing atau terus menghubungi PTPTN. Maklumat berkaitan WPP dan pinjaman PTPTN turut boleh diakses menerusi aplikasi myPTPTN yang menawarkan perkhidmatan lebih mudah, pantas dan selamat. – UMNO Online
