Dakwaan ADUN BN Negeri Sembilan ‘Tebuk Atap’ Hanya Cubaan Alih Perhatian Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid menafikan dakwaan terdapat ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan menghadiri satu perjumpaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi merancang gerakan politik untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri berkata dakwaan tersebut dilihat sebagai cubaan terdesak untuk mencetuskan persepsi politik serta mengalihkan perhatian rakyat daripada krisis institusi, adat dan Perlembagaan yang sedang melanda Negeri Sembilan ketika ini.

“Lebih membimbangkan, dakwaan tersebut kini cuba diperkuatkan dengan penyebaran pelbagai cerita dan dokumen yang kononnya membuktikan wujudnya komplot politik melibatkan ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan.

“Namun sehingga hari ini, tiada sebarang bukti yang sah, jelas dan boleh disahkan pernah dikemukakan kepada rakyat bagi menyokong tuduhan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bibi Sharliza juga turut menolak cubaan mengaitkan ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan dengan dakwaan kononnya wujud gerakan menjatuhkan kerajaan atau usaha ‘tebuk atap’.

Katanya tuduhan seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan usaha terancang untuk membina persepsi politik tanpa sebarang asas yang kukuh.

“Jika benar terdapat perjumpaan atau komplot seperti yang didakwa, kemukakan bukti kepada rakyat. Jika tiada bukti, hentikan segera budaya politik fitnah, spekulasi dan penyebaran maklumat palsu yang hanya mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi,” ujarnya.

Mengulas lanjut kata beliau, perkara lebih membimbangkan ialah ketika ini rakyat menuntut penjelasan dan penyelesaian terhadap isu sebenar yang melibatkan institusi adat dan Perlembagaan negeri.

“Politik yang matang seharusnya berteraskan fakta dan kebenaran, bukannya khabar angin yang sengaja direka untuk mengelirukan rakyat.

“Mereka mahu melihat kepimpinan yang bertanggungjawab dan berani menyelesaikan masalah, bukannya terus menuding jari serta mencipta musuh politik khayalan bagi menutup kegagalan pentadbiran.

“Wanita UMNO Negeri Sembilan berpendirian bahawa rakyat berhak mendapat fakta, bukannya persepsi. Jangan cuba mencipta naratif kononnya wujud gerakan ‘tebuk atap’, komplot politik atau perancangan menjatuhkan kerajaan semata-mata untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar yang sedang dipersoalkan oleh rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO