‘Tidak Mahu Duduk Semeja Dengan Dap Bukan Ketepikan Kaum Cina’

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn menegaskan bahawa pendirian UMNO/Barisan Nasional (BN) Johor untuk tidak bekerjasama dengan Dap dalam kerajaan negeri tidak wajar ditafsirkan sebagai meminggirkan masyarakat Cina.

Beliau malah percaya masyarakat Cina cukup matang dalam menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan rekod pentadbiran, bukannya dipengaruhi sentimen politik yang dimainkan mana-mana pihak.

“Kenyataan berkenaan tidak mahu duduk semeja dengan Dap dalam kerajaan bukanlah mengenepikan kaum Cina.

“Ini adalah kebiasaan naratif pihak lawan yang cuba dibina bagi meraih sokongan pilihan raya.

“Malah kedua-dua wakil rakyat MCA/BN sangat berkesan dalam pentadbiran yang lalu. Pengundi-pengundi Cina akan meletakkan mereka semula ditempatnya,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Bastien berkata politik berasaskan sentimen kaum tidak seharusnya dijadikan modal pilihan raya kerana ia berisiko menggugat keharmonian bangsa Johor.

Katanya lagi, sepanjang pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum telah meraih pelbagai manfaat termasuk inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang disalurkan bagi meringankan beban rakyat.

“Jika Dap terus membawa kempen yang bersifat memecahbelahkan rakyat Johor, khususnya dalam kalangan masyarakat Tionghoa, ia merupakan perkembangan yang tidak sihat. Pendekatan seperti ini hanya akan membawa jurang pemahaman yang selama ini hidup dalam harmoni.

“Apatahlagi sepanjang empat tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum telah menerima manfaat dan layanan yang adil.

“Beliau bersifat colour blind, bermaksud setiap kaum dan bangsa disantuni tanpa mengira latar belakang. Setiap bantuan yang disalurkan juga tidak mengambil kira batasan kaum.

“Sudah semestinya perkara ini akan terus dilaksana Menteri Besar sekiranya diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO