PRN Johor: Ahmad Maslan Seru Rakyat Tapis Berita Berunsur Fitnah
ISKANDAR PUTERI, 9 Jun – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru rakyat untuk menapis berita berunsur fitnah yang dimainkan pihak lawan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut mengesyorkan rakyat untuk mengikuti media rasmi parti bagi mendapatkan berita sahih.

“Fitnah ini setiap kali di medan peperangan memang akan ada, perang politik terutamanya. Kita kena pandai menapisnya dan semoga berita yang kita dapat itu adalah yang sahih.
“Jangan sebar jika kita tidak yakin. Kita juga hendaklah memastikan segala perkara baik yang telah diusahakan kerajaan negeri disebarkan seberapa banyak yang boleh melalui platform media sosial kita masing-masing.
“Sila ikuti platform media sosial Menteri Besar, boleh ikut juga media sosial saya, Ahmad Maslan, like, komen dan kongsi perkara yang positif supaya rakyat di bawah dapat menilai dengan adil dan penuh saksama tanpa fitnah,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera BN sempena PRN Johor pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan kesyukuran apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh para jentera dan berharap agar Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan pada PRN ini.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Terima kasih kepada semua jentera BN, Wanita, Pemuda, Puteri, Bahagian, Cawangan, MCA, MIC, PPP dan UMNO yang datang dari seluruh 26 bahagian di Negeri Johor.
“Kita merasa amat yakin dengan kekuatan jentera yang begitu hebat, maka BN akan boleh memenangi sekurang-kurangnya 40 atau lebih daripada kerusi yang kita ada sebelum ini.
“Kita berharap agar para jentera terus bekerja, jangan berlengah. Kukuhkan UMNO di cawangan, kukuhkan gerakan BN di pusat daerah mengundi (PDM). Cari pengundi sebanyak mungkin terutama orang Melayu, Cina, India, orang asli dan pelbagai kaum lain.
“Bangsa Johor adalah bangsa yang penuh dengan kepelbagaian dan mereka menyokong kepimpinan Menteri Besar dan BN,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
