KEMAS 55 Tahun: Terus Mencerdaskan Anak Bangsa, Perkukuh Pembangunan Insan
PUTRAJAYA, 9 Jun – KEMAS terus membuktikan peranannya sebagai antara institusi penting dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak negara apabila berjaya melahirkan lebih 8.4 juta generasi sejak penubuhannya lebih lima dekad lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan KEMAS hari ini adalah hasil komitmen berterusan warga pendidik yang bukan sahaja menekankan aspek pembelajaran, tetapi turut memberi fokus kepada pembentukan sahsiah, jati diri dan nilai murni dalam kalangan kanak-kanak sejak usia awal.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas berucap pada Sambutan Hari Pendidik KEMAS 2026 bertemakan “55 Tahun Mencerdaskan Anak Bangsa”, yang menghimpunkan warga pendidik KEMAS dari seluruh negara.
Menurut beliau, pelaksanaan Program Pra Tahfiz yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu kini menjadi antara pendekatan penting dalam memperkukuh pendidikan awal KEMAS, dengan penekanan kepada asas al-Quran, pembentukan akhlak serta pengukuhan jati diri generasi muda.
“Kekuatan sebenar KEMAS bukan sekadar pada angka pencapaian, tetapi pada keikhlasan dan pengorbanan para pendidik yang terus istiqamah mendidik anak bangsa dengan penuh dedikasi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik KEMAS atas jasa dan bakti yang dicurahkan dalam memastikan agenda pembangunan insan terus diperkasakan. – UMNO Online
