Jemaah Haji Malaysia Maktab 66 Anjur Kejohanan Ping Pong Sebagai Wadah Pererat Silatulrahim
MEKAH, 9 Jun – Jemaah Haji Malaysia Maktab 66 di Hotel Abraj Al-Janadyriah, Mekah, mengambil inisiatif menganjurkan Kejohanan Ping Pong Beregu Piala Haji Abraj Mantan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim 2026, sebagai wadah pererat silatulrahim sesama Jemaah Haji di maktab tersebut.
Menurut Mantan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, beliau menyokong inisiatif penganjuran kejohanan itu sebagai salah satu aktiviti bagi mengisi masa lapang di luar waktu ibadah Jemaah Haji.
“Saya bersetuju menghulurkan sedikit sumbangan sebagai hadiah kepada pemenang kejohanan ping pong ini yang julung kali dianjurkan atas inisiatif oleh Jemaah Haji sendiri yang saya fikir ianya sangat bermanfaat kepada Jemaah Haji kita yang telah selesai mengerjakan Ibadah Haji minggu lalu.
“Kita di sini bukan sekadar datang untuk beribadat semata-mata, tetapi apabila ada aktiviti sukan dan rekreasi ringan seperti permainan ping pong ini sekaligus akan mengurangkan kebosanan di luar waktu ibadah dan menghilangkan kepenatan mental Jemaah Haji yang telah lebih sebulan berada di Tanah Suci ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media selepas merasmikan kejohanan itu di Hotel Abraj Janadiriyah, Mekah semalam.

Beliau juga berharap kejohanan itu dapat dikembangkan ke seluruh maktab penginapan Jemaah Haji Malaysia di masa depan.
“Saya harap Jemaah Haji Malaysia di lain-lain Maktab turut mengambil inisiatif seperti di Maktab 66 ini dan mungkin boleh juga diadakan pertandingan antara maktab di masa depan.
“Mungkin juga setiap maktab yang tidak ada kemudahan meja ping pong itu boleh disediakan di masa depan untuk membolehkan Jemaah Haji kita beriadah. Bukan sahaja ping pong, mungkin aktiviti-aktiviti atau permainan ‘indoor’ lain juga boleh disediakan,” kata Azeez.
Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Kamaruzzaman Kedah berkata, pertandingan ping pong itu berjaya mengumpul 12 pasangan beregu lelaki.

“Alhamdulillah kita berjaya menganjurkan kejohanan ini yang pada asalnya kita hanya bermain suka-suka sahaja, tetapi timbul idea untuk menganjurkan satu pertandingan apabila saya melihat ramai Jemaah Haji di Maktab 66 ini yang boleh bermain ping pong dengan baik.
“Memang idea menganjurkan kejohanan ini adalah spontan dan atas kesepakatan semua sahabat-sahabat Jemaah Haji yang tiap-tiap hari turun bermain, mereka mencadangkan untuk mencari sumbangan untuk pemenang kejohanan ini. Kami mengucapkan jutaa terima kasih kepada Mantan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Azeez Rahim yang sudi tampil menyumbang hadiah dan juga merasmikan kejohanan ini.
“Kami juga menyokong idea yang diutarakan oleh Datuk Seri Azeez supaya dianjurkan pertandingan ini antara Maktab di masa depan dan saya berharap kejohanan di Maktab 66 ini dapat diteruskan oleh Jemaah-jemaah Haji Malaysia tahun depan dan tahun-tahun seterusnya dan kami berharap pihak pengurusan Tabung Haji mengambil serius perkara ini demi untuk kebaikan Jemaah Haji kita, In shaa Allah,” kata Kamaruzzaman. – UMNO Online
