‘Jangan Buat-buat Lupa, PKR Pernah Bertemu UMNO Untuk Bentuk Kerajaan’

KUALA LUMPULR, 9 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang seolah-olah terlupa peranan Barisan Nasional (BN) ketika usaha pembentukan kerajaan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata ini kerana kepimpinan PKR sendiri mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO bagi membincangkan pembentukan kerajaan bersama selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah.

“Kepada Kamil Munim mungkin kamu terlupa atau buat-buat lupa tentang apa yang berlaku ketika penubuhan Kerajaan Perpaduan dahulu.

“Mungkin kamu terlupa atau buat-buat lupa tentang peranan BN ketika menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat awal dahulu. Mungkin kamu terlupa atau buat-buat lupa bahawa parti kamu datang ke Seri Pacific berjumpa dengan kepimpinan UMNO ketika itu minta untuk menubuhkan kerajaan bersama.

“Bila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan tentang peranan BN ketika menubuhkan Kerajaan Perpaduan ini, kamu tuduh pula beliau angkuh? Bab mana yang angkuh itu? Boleh jelaskan?” soal beliau ketika.

Mengulas lanjut kata Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu lagi, UMNO/BN pada ketika itu sudah bersedia untuk berada di blok pembangkang, namun situasi politik memerlukan kerjasama bagi membentuk kerajaan.

Dr Akmal dalam pada itu berkata UMNO/BN bukan seperti PKR/PH yang tidak bercakap berlandaskan fakta.

“Kerana fakta yang mungkin kamu terlupa atau buat-buat lupa adalah selepas PRU 15 UMNO dah bersedia untuk menjadi pembangkang tetapi kamu yang gagal untuk menubuhkan kerajaan dan minta bantuan BN untuk menubuhkan kerajaan. Itu fakta!

“Jika auta macam janji kamu nak hapuskan tol dan PTPTN itu!

“Tetapi jika kamu dan kepimpinan kamu merasakan bahawa peranan BN tiada dalam Kerajaan Perpaduan ini, maka saya cabar PMX untuk buang semua Ahli Parlimen UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ini sekarang! Boleh?” tegas beliau.

Terdahulu Mohd Kamil berkata kenyataan Ahmad Zahid bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa sokongan gabungan itu adalah sesuatu yang angkuh, sambil menyifatkan ia tidak mencerminkan semangat sebenar kerjasama politik masa kini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO