Demi Kembalikan Kepercayaan Rakyat, Usaha Perkukuh UMNO Bukan Angkuh – Tengku Azman

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Usaha memperkukuhkan parti dan mendapatkan semula kepercayaan rakyat bukanlah satu bentuk keangkuhan, sebaliknya merupakan tanggungjawab asas sesebuah parti politik yang mempunyai sejarah panjang dalam negara.

Ketua UMNO Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata terdapat pihak yang telah melabelkan UMNO sebagai angkuh hanya kerana parti itu menyatakan hasrat untuk memperkukuhkan organisasi serta meraih semula sokongan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa matlamat tersebut tidak wajar disalah tafsir kerana ia merupakan proses biasa dalam perjuangan politik.

“Sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah dan perjuangan yang panjang, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk terus membina keyakinan rakyat dan memperkukuhkan sokongan terhadap parti,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa UMNO tetap menghormati semangat Kerajaan Perpaduan dan akan terus bekerjasama demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.

Namun, beliau menjelaskan bahawa kerjasama politik tidak bermaksud UMNO perlu bergantung kepada mana-mana parti lain dalam menentukan masa depannya.

“UMNO menghormati semangat Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat. Namun, kerjasama tidak bermaksud UMNO perlu bergantung masa depannya kepada mana-mana parti politik,” katanya.

Beliau menambah bahawa usaha memperkukuhkan UMNO akan diteruskan secara berterusan selari dengan tanggungjawab parti kepada ahli dan rakyat.

“Kerjasama demi negara akan diteruskan. Tetapi usaha memperkukuhkan UMNO tidak akan pernah dihentikan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO