YB Loke Jangan Keliru Antara Tanggungjawab Negara dan Pilihan Politik

JOHOR BAHRU, 8 Jun — Pemuda UMNO Johor mempertahankan kenyataan dan pendirian Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menegaskan bahawa beliau tidak akan bekerjasama atau duduk semeja dengan Dap.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros, pendirian tersebut dibuat berdasarkan perbezaan ideologi politik antara UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan Dap, dan bukan didorong oleh sentimen perkauman seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Beliau berkata, perbezaan ideologi, prinsip dan nilai perjuangan merupakan perkara biasa dalam landskap politik, dan parti-parti politik mempunyai hak untuk menentukan bentuk kerjasama yang ingin dijalinkan.

“Tidak ada asas untuk melabelkan pendirian tersebut sebagai perkauman semata-mata kerana wujud perbezaan pandangan atau ketidaksetujuan terhadap Dap,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azleen turut menegaskan bahawa perbezaan antara UMNO dan Dap adalah jelas serta bersifat mendasar, khususnya berhubung konsep Malaysian Malaysia yang menurut beliau masih menjadi sebahagian daripada perjuangan parti tersebut.

Katanya, konsep itu dilihat tidak selari dengan semangat dan kerangka Perlembagaan Persekutuan yang selama ini dipertahankan oleh UMNO dan BN.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengulas kenyataan yang membandingkan isu berkenaan dengan kehadiran beliau bersama Presiden UMNO dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setiap minggu.

Menurut Noor Azleen, perbandingan tersebut tidak tepat kerana ia gagal membezakan antara tanggungjawab pentadbiran negara dan pilihan kerjasama politik.

Beliau menjelaskan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri dalam kapasiti sebagai Timbalan Perdana Menteri dan perlu melaksanakan amanah yang diberikan kepada beliau.

“Dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada negara, seseorang pemimpin tidak boleh memilih dengan siapa beliau perlu duduk semeja kerana ia merupakan tanggungjawab rasmi kepada negara, bukannya soal pilihan politik peribadi,” katanya.

Beliau menambah, dalam konteks kerjasama politik pula, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendirian serta memilih rakan kerjasama berdasarkan prinsip, ideologi dan nilai perjuangan masing-masing. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO