‘Tidak Sesekali Bekerjasama Dengan Dap Dalam Kerajaan Negeri’

ISKANDAR PUTERI, 8 Jun- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan Dap sekiranya diberi mandat untuk mentadbir semula kerajaan negeri pada masa hadapan.

Menteri Besar Johor itu juga berkata, beliau rela melepaskan jawatan sekiranya bersama dengan Dap.

“Pada hari ini bangsa Johor, jangan risau dengan kebenaran pengerusi, insya-Allah apabila kerajaan negeri ditubuhkan semula dengan perkenan Sultan Johor dan pemangku Sultan Johor, sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN untuk memimpin sekali lagi, kita tidak akan sesekali bersama Dap dalam kerajaan negeri.

“Saya lebih rela tidak pegang jawatan Menteri Besar daripada duduk semeja dengan mereka. Ini bukan isu perkauaman, kita di Johor… Melayu, Cina, India duduk sebagai satu keluarga,“ katanya.

Onn Hafiz berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Educity Iskandar Puteri, semalam.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran serta kepimpinan lain.

Sementara itu beliau berkata rakyat perlu diberikan pemahaman yang jelas bagi mengelakkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Setahu saya BN Johor tidak pernah duduk dengan Dap daripada atas sampai bawah… Johor dan kerajaan Persekutuan adalah dua realiti yang berbeza.

“… yang saya ingat pernah duduk semeja dengan Dap ialah Menteri Besar daripada PPBM jadi tolong ingatkan mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO