Mesyuarat Perwakilan UMNO Medan Bermuhasabah, Susun Gerak Kerja Dan Kukuhkan Kesatuan

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bukan sekadar memenuhi tuntutan berorganisasi, malah ia platform penting bagi parti untuk terus kekal.

Ujar Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air merangkap Ahli Parlimen Lipis itu, ia sebagai medan bermuhasabah, menyusun gerak kerja dan memperkukuhkan kesatuan sesama ahli.

“Mesyuarat perwakilan bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, tetapi menjadi medan penting untuk bermuhasabah, menyusun gerak kerja serta memperkukuhkan kesatuan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“Kekuatan UMNO sentiasa bermula dari akar umbi yang bersatu, setia dan istiqamah dalam perjuangan.

“Saya yakin, dengan semangat kebersamaan yang ditunjukkan hari ini, UMNO akan terus kekal relevan, diyakini rakyat dan menjadi wadah terbaik dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam perkongsiannya itu, Abdul Rahman bersyukur dan berbesar hati menerima jemputan untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krau Kali Ke-23 pada hujung minggu lalu.

“Tahniah kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli UMNO Bahagian Kuala Krau yang terus menunjukkan komitmen serta semangat perjuangan yang tinggi dalam memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi.

“Terima kasih atas jemputan dan sambutan yang cukup mesra daripada seluruh warga UMNO Bahagian Kuala Krau. Semoga perjuangan yang kita dokong bersama sentiasa dipermudahkan dan diberkati Allah SWT,” katanya.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Timbalan Ketua; Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Wanita Senator Norhasmimi Abdul Ghani dan barisan kepimpinan negeri Pahang dan bahagian. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO