BN Pilihan Terbaik Untuk Pastikan Kestabilan Negeri Johor – Vigneswaran

ISKANDAR PUTERI, 8 Jun – Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) merupakan pilihan terbaik untuk memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan keharmonian rakyat terus terpelihara di Negeri Johor.

Menurut beliau, seluruh jentera parti yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu memahami kepentingan mempertahankan konsep dan perjuangan BN demi masa depan negeri tersebut.

“Kita bertemu di sini untuk memastikan kemenangan BN di Johor. Kenapa BN? Kenapa hanya BN? Paling mustahak, semua jentera pilihan raya yang datang ke sini mesti faham bahawa konsep BN perlu terus dipertahankan di Johor.

“Kita perlu melihat apa yang berlaku di negeri-negeri lain dan mengambil iktibar daripadanya. BN sentiasa menghormati Perlembagaan dan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang kepada kestabilan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera BN sempena PRN Johor, pada Ahad.

Vigneswaran berkata, pengalaman politik negara sejak 2018 membuktikan bahawa kestabilan yang pernah dinikmati ketika era pemerintahan BN perlu dihargai dan dijadikan panduan oleh rakyat.

“Kita pernah melalui tempoh selepas 2018 apabila kerajaan silih berganti. Ketika BN memerintah selama lebih enam dekad, kestabilan politik dapat dikekalkan dan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan baik.

“Apa yang perlu kita faham sekarang, kita bukan mahu bergaduh dengan sesiapa atau mencetuskan ketegangan politik. Apa yang penting adalah memastikan kerajaan yang memimpin negeri menghormati sistem Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan negara,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh jentera BN supaya memberikan sokongan penuh terhadap keputusan kepimpinan parti berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jangan lagi kita mempersoalkannya. Apabila semboyan telah dibunyikan, maka kita mesti turun berjuang.

“Kepimpinan BN di peringkat negeri dan pusat telah membuat keputusan secara sehaluan untuk membubarkan DUN. Ini adalah masa yang tepat untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan BN sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta mengamalkan tadbir urus yang berintegriti.

“Kita tidak menyakiti hati rakyat. Kita tidak menyalahgunakan wang rakyat. Sebab itulah kita yakin rakyat mampu membuat penilaian yang terbaik terhadap kepimpinan BN.

“Pilihan raya kali ini menuntut kita bekerja lebih keras, lebih tersusun dan lebih bersatu. Semua jentera mesti turun padang dan memastikan mesej BN sampai kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau lagi, kemenangan BN di Johor bukan sahaja penting kepada negeri tersebut, malah akan menjadi isyarat jelas bahawa rakyat masih meletakkan keyakinan kepada gabungan itu untuk meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negara.

“Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan. Ketepikan perbezaan dan fokus kepada matlamat utama iaitu memastikan kemenangan BN. Dengan kesatuan dan kerja keras seluruh jentera, BN akan terus menjadi pilihan rakyat Johor,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO