BN Perlu Terus Bersatu, Jangan Peduli Pihak Luar – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa seluruh jentera Barisan Nasional (BN) perlu bergerak sebagai satu pasukan yang kuat, tersusun dan fokus dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, mesej jelas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika pelancaran jentera parti semalam perlu disambut dengan semngat perjuangan demi kestabilan masa hadapan.

“Sekarang adalah masa untuk kita bergerak sebagai satu pasukan yang kuat, tersusun dan fokus. Semangat kebangkitan semula BN bermula di PRN Johor,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, PRN Johor bukan sekadar medan pertandingan politik, sebaliknya merupakan penentuan masa depan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Justeru, setiap anggota parti perlu meletakkan kepentingan perjuangan dan rakyat mengatasi segala perkara lain.

Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya memperkukuhkan gerak kerja di peringkat akar umbi dengan mendekati pengundi serta memastikan setiap suara rakyat didengar dan diperjuangkan.

“Tiada ruang untuk leka dan tiada masa untuk berpecah. Kita mesti merapatkan saf, memperkukuh gerak kerja dan membuktikan bahawa BN benar-benar bersedia untuk membawa kestabilan serta kemajuan kepada Johor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menegaskan bahawa seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu terus fokus kepada gerak kerja parti serta tidak terlalu mempedulikan pandangan atau kenyataan pihak luar yang sengaja ingin mengganggu usaha ke arah memperkukuh perjuangan.

Menurut beliau, perkara paling penting ketika ini ialah semangat kebersamaan, kesetiaan kepada perjuangan serta komitmen untuk memastikan kemenangan parti.

“Apa juga yang diperkatakan oleh pihak luar, jangan sesekali melemahkan semangat kita. Yang lebih penting adalah kebersamaan dalam parti, saling mempercayai antara satu sama lain dan bergerak ke hadapan dengan matlamat yang sama.

“Kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh sokongan rakyat, membantu masyarakat dan menyampaikan agenda pembangunan yang mampu membawa manfaat kepada negeri serta rakyat Johor,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan sesebuah parti tidak hanya terletak pada kepimpinan, tetapi juga pada kesatuan seluruh ahli dan jentera yang sanggup berkorban demi memastikan perjuangan parti terus relevan serta mendapat kepercayaan rakyat.

“Apabila kita bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan, tiada cabaran yang tidak mampu kita hadapi. Semangat inilah yang perlu diterjemahkan oleh setiap anggota parti menjelang pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau yakin kesatuan, disiplin dan komitmen seluruh jentera akan menjadi faktor penting dalam memastikan kejayaan BN pada pilihan raya akan datang serta mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan parti untuk meneruskan agenda kestabilan dan kemajuan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO