Dari Johor Kita Mulakan Kebangkitan Semula BN – Ahmad Zahid
ISKANDAR PUTERI, 7 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa semangat kebangkitan semula BN akan dimulakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Ujarnya, Johor memegang sejarah dalam membina semula bangsa dan permulaan kepada semangat penyatuan kesatuan.

“Jika inilah semangatnya, Insya-Allah saya yakin bangsa Johor akan memberikan mandat kepada BN untuk kembali memimpin negeri ini. Johor bukan negeri biasa. Di sinilah kompas pembinaan bangsa mula memandu arah.
“Dari Johor lahir semangat kesatuan. Hari ini, kita nyalakan semula perjalanan negara menuju kemajuan, bermula dari bumi Johor yang bertuah ini.
“Johor amat istimewa buat BN. Di akar inilah perjuangan bangsa dipasakkan. Saya ingin tegaskan bahawa UMNO dan BN sentiasa menjunjung institusi di-Raja serta berpegang teguh kepada Perlembagaan, dahulu, kini dan selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera BN sempena PRN Johor pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, rakyat Johor berhak menentukan kerajaan yang mampu memberikan kesatabilan dan menunaikan janji.
“Rakyat Johor berhak menentukan kerajaan yang mampu memberikan kestabilan, bekerja untuk rakyat dan menunaikan janji. Saya sebagai Presiden UMNO amat berbangga dengan prestasi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Justeru, BN Johor sekali lagi memohon mandat yang jelas dan kukuh untuk memastikan pembangunan negeri terus dipacu, serta bantuan Kasih Johor sampai kepada rakyat.
“Insya-Allah kemampuan Onn Hafiz akan terus menyantuni seluruh rakyat Johor. Yakinlah, kita tidak datang dengan tangan kosong. Kita datang dengan rekod pencapaian yang cemerlang. Saya tetap berbangga kerana Johor dipimpin oleh seorang pemimpin yang berwibawa.
“Bersama barisan exco, pentadbiran berjalan dengan baik dan kebajikan rakyat terus disantuni demi kemakmuran Johor. Kita ada kelemahan dan masih ada ruang yang perlu diperbaiki, namun kita tidak pernah berhenti bekerja,” katanya lagi.
Tambah beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, BN perlu terus berani menceritakan segala pencapaian di samping bersedia menghadapi fitnah.
“Formula untuk menang ialah kita mesti berani menceritakan apa yang telah kita lakukan. Jangan malu menyatakan kejayaan dan mempertahankan rekod pencapaian. Itu bukan riak atau sombong, sebaliknya amanah untuk meyakinkan rakyat.
“Kita juga mesti bersedia menghadapi fitnah dalam era digital. Fitnah datang dalam pelbagai bentuk. Fitnah direka untuk membunuh keyakinan rakyat, mengelirukan mereka dan akhirnya menbuatkan mereka menolak BN. Saya menyeru seluruh jentera agar tidak lambat menjawab fitnah. Jawablah dengan fakta dan tawan hati rakyat melalui semua platform media sosial.
“Kita mesti menggunakan pendekatan baharu. Setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) mesti dihidupkan. Setiap isu tempatan perlu dijawab dengan segera. Jangan tunggu arahan untuk bekerja. Pilihan raya kali ini menuntut kita bergerak lebih awal. Insya-Allah masa depan BN Johor akan lebih cemerlang.
“Jadikan Johor sebagai fixed deposit BN. Inilah kekuatan BN. Kita tegas tanpa menindas. Kita membela orang Melayu tanpa meminggirkan kaum lain,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa PRN Johor merupakan tapak penyatuan rakyat yang sebenar.
“Jika ada satu kalimah yang paling penting, PRN Johor bukan sekadar pilihan raya negeri, tetapi tapak penyatuan rakyat yang sebenar. Inilah penentunya. Gelombang BN akan kembali di Johor dan seterusnya ke seluruh negara.
“Kita mahu membuktikan bahawa BN masih kukuh dan akan terus menjadi sandaran rakyat Malaysia. Dari Johor kita bina kekuatan, dari Johor kita susun pengukuhan, dan dari Johor kita mulakan kebangkitan semula Barisan Nasional,” katanya lagi.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa gagasan Rumah Bangsa perlu dipelihara sebaiknya.
“Semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU), saya telah menggagaskan Rumah Bangsa. Ini kerana UMNO ialah rumah asal politik, rumah pusaka orang Melayu. Ada yang kekal, ada yang memilih jalan berbeza, namun semuanya tetap tumbuh daripada akar yang sama.
“Jangan termakan janji bulan dan bintang yang akhirnya tidak tertunai. Rumah Bangsa Johor mesti kita pertahankan. Masuklah dengan adab dan keikhlasan untuk menyatukan. Hari ini, parti-parti yang menjadi serpihan daripada umbi perjuangan mula bercakap tentang penyatuan.
“Justeru, marilah kita bersama-sama membentuk perpaduan. Jika ikhlas, pintu Rumah Bangsa ini terbuka seluas-luasnya. Biduk lalu, kiambang bertaut, itulah pegangan kita,” katanya lagi. – UMNO Online
