Keluh Kesah Rakyat Didengari, Ikhtiar Saarani Selesaikan Sebaik Mungkin
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pendekatan turun padang dan mendengar sendiri pandangan rakyat terus menjadi amalan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam memastikan setiap isu yang dihadapi penduduk mendapat perhatian sewajarnya.
Saarani berkata, setiap kali berkesempatan berada di pusat khidmat di kawasan Dewan Undangan Negerinya, beliau sentiasa menghargai peluang untuk bertemu, berbual dan mendengar sendiri cerita serta permasalahan masyarakat setempat.

“Ada yang datang membawa pandangan. Ada yang berkongsi masalah. Ada juga yang hanya singgah bertanya khabar dan bertukar cerita.
“Di sinilah banyak hal yang menjelmakan wajah sebenar kehidupan rakyat. Setiap aduan ada kisahnya. Setiap rungutan ada ceritanya. Setiap masalah ada jalan yang perlu kita usahakan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menerusi satu hantaran di Facebook.
Seterusnya kata Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diusahakan penyelesaiannya sama ada melalui tindakan segera atau saluran berkaitan yang bersesuaian.
“Mana yang boleh dibantu segera, kita cuba selesaikan sebaik mungkin.
“Mana yang memerlukan tindakan lanjut, kita ikhtiarkan melalui saluran yang ada,” katanya lagi.
Menurut beliau, usaha mendekati rakyat dan memahami sendiri realiti kehidupan mereka penting untuk memastikan bantuan serta penyelesaian yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
“Mudah-mudahan segala usaha kecil ini terus membawa manfaat dan kebaikan kepada seluruh rakyat Perak,” katanya lagi.
Sementara itu dalam statusnya terdahulu di platform media sosial yang sama, beliau telah merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2026 yang membawa tema ‘Hutan dan Ekonomi’ pada Khamis.

Menurut Saarani, hutan merupakan sumber kehidupan yang memainkan peranan penting kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.
“Hutan bukan hanya khazanah alam semata-mata, tetapi ia adalah sumber kehidupan kita semua. Daripada air, pelindung kawasan tadahan, tarikan ekopelancongan, gedung biodiversiti dan penyumbang kepada ekonomi negeri.
“Merujuk kepada data, 48 peratus keluasan tanah di Perak masih dilitupi kawasan berhutan, manakala kira-kira 988,723 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.
“Pada tahun lalu sahaja, Kerajaan Negeri turut mewartakan tambahan 1,259 hektar kawasan baharu sebagai Hutan Simpanan Kekal.
“Dalam masa sama, usaha pemuliharaan terus diperkukuh melalui perundangan, pengurusan hutan secara mampan, serta inisiatif penghijauan yang telah berjaya menanam lebih 11.4 juta pokok di seluruh negeri,” katanya lagi. – UMNO Online
