Pemuda UMNO Junjung Titah Tuanku Raja Perlis, Harap Dijadikan Pedoman

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis menjunjung setinggi-tinggi titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan berharap titah tersebut dijadikan pedoman oleh semua pihak.

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata, agenda pembangunan negeri, kebajikan rakyat dan tadbir urus yang berkesan tanpa diganggu polemik politik menjadi keutamaan pada ketika ini.

“Pemuda UMNO Perlis menjunjung setinggi-tinggi titah DYMM Tuanku Raja Perlis yang menzahirkan hasrat agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terus memelihara kestabilan politik, keharmonian pentadbiran dan kesejahteraan rakyat sehingga tamat penggal.

“Titah Tuanku itu wajar dijadikan pedoman oleh semua pihak, khususnya barisan kepimpinan dan wakil rakyat, supaya tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan negeri atau menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran.

“Pemuda UMNO Perlis berpandangan bahawa keutamaan ketika ini adalah memastikan agenda pembangunan negeri, kebajikan rakyat dan urus tadbir berkesan terus diperkasa tanpa diganggu polemik politik yang tidak berkesudahan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO Perlis kekal komited memainkan peranan untuk memastikan suasana politik negeri sentiasa aman dan stabil.

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Perlis menyeru semua ADUN agar menzahirkan komitmen penuh terhadap titah Tuanku Raja Perlis dan mengutamakan kepentingan negeri serta rakyat melebihi kepentingan politik peribadi atau kelompok.

“Pemuda UMNO Perlis juga kekal komited untuk memainkan peranan konstruktif dalam memastikan suasana politik negeri sentiasa aman, stabil dan harmoni demi masa depan Perlis yang lebih baik.

“Sebaik-baiknya wakil rakyat yang dipilih menggunakan baki penggal yang ada ini untuk memperbaiki jalan-jalan di kampung dan infrastruktur agar keselamatan serta keselesaan rakyat terjamin,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan semua ADUN bahawa pentadbiran negeri ketika ini adalah kerajaan negeri pilihan baginda.

Baginda bertitah, kestabilan politik adalah kriteria penting yang memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur untuk melabur di Perlis. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO