Malaysia Terus Runding Tarif AS, Pertahan Pendirian Dalam Siasatan Perdagangan

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Malaysia terus berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung pelaksanaan tarif timbal balas dan langkah perdagangan lain susulan perkembangan terkini dalam dasar perdagangan negara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia kini berdepan beberapa tindakan perdagangan yang dilaksanakan AS menerusi pelbagai peruntukan undang-undang negara berkenaan.

Beliau berkata, di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), AS sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas eksport Malaysia yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.

Bagaimanapun, katanya, susulan keputusan Mahkamah Agung AS (SCOTUS) pada Februari lalu yang membatalkan penggunaan IEEPA bagi tujuan berkenaan, kerajaan AS kemudiannya menggunakan Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 untuk mengenakan tarif sementara sebanyak 10 peratus ke atas Malaysia.

“Tarif 10 peratus di bawah Seksyen 122 ini hanya sah untuk tempoh 150 hari dan akan tamat pada 24 Julai 2026. Selepas tarikh itu, mereka tidak boleh lagi menggunakan peruntukan sama bagi meneruskan tarif berkenaan,” katanya selepas Majlis Makan Tengah Hari Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), di sini, hari ini.

Johari berkata, sejurus selepas pelaksanaan tarif sementara itu, AS memulakan siasatan di bawah Seksyen 301 yang melibatkan beberapa rakan dagang terpilih.

Menurutnya, Malaysia dimaklumkan bahawa semakan itu meliputi empat bidang utama iaitu kapasiti berlebihan, buruh paksa, pertimbangan alam sekitar dan subsidi kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi Malaysia hanya dua aspek diberi tumpuan ketika ini iaitu kapasiti berlebihan dan buruh paksa.

“Pada Mei 2026, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengetuai delegasi ke Washington bagi mengadakan rundingan berkaitan siasatan berkenaan.

“Dalam sesi libat urus itu, Malaysia menegaskan bahawa sektor pembuatan negara beroperasi berasaskan prinsip pasaran serta memenuhi permintaan global yang sebenar.

“Malaysia juga menekankan bahawa eksport negara memainkan peranan saling melengkapi dalam menyokong daya saing industri dan perniagaan di Malaysia serta AS,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, Malaysia turut mempertahankan pendirian bahawa negara ini tidak mempunyai masalah kapasiti pengeluaran berlebihan seperti yang dibimbangi oleh pihak AS.

“Kita mempertahankan bahawa Malaysia tidak mempunyai kapasiti berlebihan. Apa yang mungkin menjadi kebimbangan mereka ialah apabila ada negara lain yang mempunyai kapasiti berlebihan menjual produk kepada Malaysia, kemudian produk itu digunakan sebagai input untuk menghasilkan barangan lain sebelum dieksport ke AS.

“Itu mungkin isu yang sedang mereka teliti, tetapi kita sendiri tidak mempunyai kapasiti berlebihan seperti yang didakwa,” katanya.

Pada masa sama, Johari berkata, Malaysia turut memberikan penjelasan menyeluruh berhubung isu buruh paksa yang menjadi satu lagi fokus utama dalam siasatan Seksyen 301.

Menurutnya, Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat bagi mengawal selia dan mencegah sebarang bentuk buruh paksa serta sentiasa mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Malaysia menegaskan komitmen kukuh dalam mematuhi piawaian buruh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menolak sebarang bentuk buruh paksa.

“Dasar serta langkah penguatkuasaan negara dipandu oleh indikator buruh paksa yang ditetapkan ILO, di samping usaha berterusan untuk memperkukuh kerangka kawal selia dan institusi berkaitan,” katanya.

Johari berkata, sebagai sebahagian daripada usaha itu, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa bagi membangunkan dan melaksanakan mekanisme yang lebih kukuh dalam aspek pencegahan, pemantauan serta penguatkuasaan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Beliau bagaimanapun mengakui masih terdapat jurang tertentu dalam mekanisme kawal selia berkaitan produk import yang mungkin dihasilkan menggunakan buruh paksa di negara asal.

Katanya, walaupun Malaysia tidak mengamalkan buruh paksa dan mempunyai undang-undang yang jelas mengenainya, negara ini belum mempunyai mekanisme khusus untuk mengukur atau mengesan sama ada produk yang diimport dari luar negara dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Oleh sebab itu, antara isu yang dibangkitkan ialah kita tidak mempunyai undang-undang yang secara khusus menghalang kemasukan produk yang dihasilkan menggunakan buruh paksa dari luar negara. Itu adalah jurang yang sedang kita lihat dan perhalusi,” katanya.

Johari berkata, Malaysia sedang meneliti pendekatan lebih bersasar bagi memastikan hanya syarikat yang mematuhi piawaian buruh antarabangsa dibenarkan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan negara.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya terdapat lima syarikat dalam sesebuah negara dan hanya satu daripadanya mematuhi sepenuhnya peraturan berkaitan buruh paksa, maka Malaysia boleh memilih untuk menjalankan urusan perdagangan dengan syarikat yang mematuhi standard berkenaan. – BHARIAN

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO