Johor Peruntuk Lebih RM66 Juta Perkasa Sektor Kesihatan Awam Negeri
ISKANDAR PUTERI, 4 Jun – Kerajaan Negeri Johor membelanjakan lebih RM66 juta bagi memperkasa sektor kesihatan awam negeri sepanjang tempoh empat tahun pentadbirannya.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan itu disalurkan bagi memastikan kebajikan dan kesihatan kira-kira empat juta rakyat negeri ini terus terpelihara.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri dan sentiasa menitikberatkan isu kesihatan awam kerana ia melibatkan nyawa rakyat.

“Jika mengikut cara lama kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan lebih RM66 juta untuk Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), namun apabila melibatkan nyawa hampir empat juta rakyat Johor kita tidak boleh menutup mata dan memekakkan telinga.
“Sebab itu saya tidak pernah teragak-agak untuk turun padang bagi memperkasa JKNJ dan saya akan terus memberikan perhatian kepada sektor kesihatan awam negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohtar Pungut.
Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga akan terus membantu mencari penyelesaian terhadap isu kekurangan tenaga kerja kesihatan, khususnya melibatkan jururawat dan doktor di Johor.
“Di Johor, kita tahu terdapat kekurangan jururawat dan doktor. Kita akan bersama-sama mencari kaedah terbaik bagi memastikan kekosongan jawatan ini dapat diisi dengan segera,” katanya.
Pada majlis sama, Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada jururawat di seluruh Johor sebagai tanda penghargaan atas jasa serta pengorbanan mereka, selain RM100,000 kepada pembantu perubatan di negeri ini.
Beliau berkata langkah itu merupakan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh penghargaan terhadap petugas kesihatan dengan meningkatkan peruntukan kepada jururawat dan pembantu perubatan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada sektor kesihatan.
Beliau berkata peruntukan kepada jururawat negeri itu menunjukkan peningkatan berterusan sejak 2023, iaitu RM200,000 pada tahun pertama, RM300,000 pada tahun berikutnya dan RM400,000 pada 2025. – BERNAMA
