Penguasaan Media Sosial Penting Untuk Perkukuh Keyakinan Rakyat
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Penguasaan media sosial dan kandungan digital amat penting untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perjuangan dan hala tuju parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Menteri Pertahanan telah hadir ke Program ‘Politik Digital Era Baharu: Strategi Media Sosial dan Kandungan Digital’ anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada Selasa.

“Selepas tamat program di Parlimen Kota Tinggi, saya menghadiri Program ‘Politik Digital Era Baharu: Strategi Media Sosial dan Kandungan Digital’ anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Pasir Gudang.
“Penguasaan media sosial dan kandungan digital ini amat penting untuk memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan dengan lebih pantas, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perjuangan dan hala tuju parti,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar program tersebut dapat melahirkan lebih ramai penggerak yang berilmu dalam mendepani cabaran politik digital yang semakin dinamik.
“Turut disampaikan sijil pengiktirafan kepada para peserta sebagai penghargaan atas komitmen dan penyertaan mereka sepanjang program berlangsung.
“Semoga program seperti ini dapat melahirkan lebih ramai penggerak yang berilmu, berfakta dan bersedia mendepani cabaran politik digital yang semakin dinamik,” katanya.
Terdahulu, beliau telah berkesempatan untuk bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat setempat di Kota Tinggi.

“Berkesempatan minum pagi bersama masyarakat Cina di Kota Tinggi dalam suasana santai bersama Senator Datuk Ng Keng Heng, Ahli Dewan Negara dan kepimpinan setempat yang lain.
“Turut berpeluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat setempat dalam suasana yang santai dan harmoni.
“Pertemuan seperti ini menjadi ruang yang bermakna untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh semangat kebersamaan antara pelbagai kaum di Kota Tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online
