Tahniah Tabung Haji, Pengiktirafan Dunia Hasil Kerja Cemerlang – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan Tabung Haji serta seluruh petugas haji Malaysia atas kejayaan merangkul Anugerah Labbaitom bagi tahun kelima berturut-turut.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Pahang, anugerah yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu membuktikan kecemerlangan pengurusan haji Malaysia yang terus diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.

Katanya, Malaysia sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan dalam musim haji 1447H/2026M apabila berjaya mempertahankan pengiktirafan berprestij tersebut hasil komitmen tinggi semua pihak yang terlibat.

“Pencapaian kali kelima berturut-turut ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kerja yang efektif, tersusun dan penuh disiplin yang ditunjukkan oleh seluruh petugas serta pengurusan Tabung Haji, selain kerjasama baik yang diberikan oleh jemaah haji Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan membuktikan kemampuan Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan dan kebajikan terbaik kepada jemaah haji, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Wan Rosdy turut berharap kecemerlangan yang dicapai itu dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang demi memastikan pengurusan haji negara terus menjadi penanda aras kepada negara lain.

“Saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada pengurusan Tabung Haji dan semua petugas jemaah haji Malaysia atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa hadapan, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO