RISDA Perkukuh Semangat Kebersamaan Melalui Program Korban
BANGI, 31 Mei – Semangat gotong-royong dan kebersamaan terus menjadi teras dalam penganjuran Majlis Ibadah Korban RISDA 2026 yang menghimpunkan warga agensi itu bersama masyarakat setempat dalam suasana penuh muafakat dan keinsafan.
Program tahunan yang berlangsung di Aqua Garden, Bangi itu menyaksikan penyertaan aktif warga RISDA serta Kumpulan RISDA Holdings dalam urusan penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban, sekali gus mencerminkan nilai kerjasama yang menjadi budaya organisasi berkenaan.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, majlis tersebut bukan sahaja bertujuan mengimarahkan sambutan Aidiladha, malah menjadi wadah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara warga kerja, komuniti dan golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, penghayatan terhadap konsep pengorbanan perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui komitmen untuk berkhidmat dengan penuh keikhlasan serta rasa tanggungjawab kepada masyarakat.
“Nilai pengorbanan yang dituntut dalam Islam perlu menjadi panduan dalam melaksanakan amanah, termasuk dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup pekebun kecil dan masyarakat luar bandar.
“Semangat ini juga menjadi pemangkin kepada warga RISDA untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.
Sebanyak 12 ekor lembu telah dikorbankan dalam program tersebut dengan hasil agihan disalurkan kepada penerima yang layak termasuk warga RISDA dan komuniti sekitar.
Dalam usaha memperluaskan manfaat kepada masyarakat, RISDA turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada beberapa institusi yang berperanan penting dalam pembangunan komuniti setempat.

Antara penerima sumbangan tersebut ialah Maahad Tahfiz Imam As-Syafie Bangi, Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain Bangi dan Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda yang masing-masing menerima bantuan berjumlah RM2,000.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada penerima manfaat korban serta penghargaan kepada pasukan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Penganjuran program itu dilihat selari dengan aspirasi RISDA untuk terus mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan, selain menyuburkan nilai perpaduan, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan rakyat. – UMNO Online
