Malaysia, Thailand Perkukuh Hubungan Pertahanan Demi Kemakmuran Bersama
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Malaysia dan Thailand komited untuk terus memperkukuh hubungan pertahanan serta kerjasama strategik demi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ASEAN.
Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan julung kali beliau dengan Menteri Pertahanan Thailand yang baharu, Lieutenant General Adul Boonthumjaroen, di sela-sela persidangan Shangri-La Dialogue 2026.

Menurut beliau, pertemuan tersebut dimulakan dengan ucapan tahniah kepada Adul atas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan Thailand serta menyatakan hasrat Malaysia untuk terus menjalinkan kerjasama rapat dengan negara jiran itu.
“Sebagai negara berjiran, Malaysia dan Thailand berkongsi kepentingan yang melangkaui aspek keselamatan semata-mata, termasuk dalam memastikan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau berkata, perbincangan turut memfokuskan usaha memperkukuh kerjasama pertahanan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, termasuk melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) serta penerokaan bidang kerjasama baharu yang berpotensi untuk dibangunkan bersama.
Selain itu, kedua-dua pihak turut menyentuh kerjasama keselamatan sempadan menerusi General Border Committee (GBC), potensi kerjasama dalam industri pertahanan serta kepentingan komunikasi berterusan bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau terus terpelihara.
Mohamed Khaled menegaskan bahawa Malaysia sentiasa mengharapkan Thailand yang aman dan makmur kerana kestabilan kedua-dua negara saling berkait rapat serta menyumbang kepada kemajuan rantau ASEAN secara keseluruhannya.
Beliau turut menyifatkan hubungan erat Malaysia-Thailand sebagai elemen penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dan memastikan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara terus terjamin. – UMNO Online
