Selamat Menyambut Pesta Kaamatan Dan Hari Gawai, Cerminkan Kekuatan Malaysia Majmuk – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai sebagai manifestasi kekuatan Malaysia yang dibina atas kepelbagaian budaya, adat resam dan tradisi masyarakat pelbagai kaum.

Menurut beliau, perayaan yang diraikan oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Dayak serta pelbagai etnik lain di Sabah dan Sarawak itu bukan sahaja melambangkan rasa syukur atas hasil tuaian, malah menjadi medium penting dalam memelihara warisan budaya yang diwariskan turun-temurun.

“Malaysia cukup istimewa kerana kepelbagaian budaya, adat resam dan tradisi yang diwarisi oleh masyarakatnya. Inilah kekuatan yang menjadikan negara kita unik, harmoni dan kaya dengan warisan yang membentuk identiti Malaysia,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026.

Ahmad Zahid berkata, keunikan budaya dan kepelbagaian masyarakat negara ini turut menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkenalkan keindahan Malaysia kepada dunia.

Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian budaya yang diraikan secara bersama mampu memperkukuh semangat perpaduan yang sekian lama menjadi tunjang kekuatan negara.

“Keunikan budaya dan kepelbagaian masyarakat seperti inilah yang menjadi antara tarikan utama negara. Ia bukan sahaja memperkenalkan keindahan Malaysia kepada dunia, malah memperkukuh semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya masyarakat di Sabah dan Sarawak, serta berharap sambutan tahun ini membawa kegembiraan, kesejahteraan dan kebaikan kepada semua. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO