Kaamatan Perkukuh Perpaduan dan Semangat Muafakat, Kata Awang Aslee
BEAUFORT, 30 Mei – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berharap sambutan Pesta Kaamatan tahun ini terus menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan dan semangat muafakat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Beliau berkata, Pesta Kaamatan bukan sahaja disambut sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian, malah menjadi simbol keharmonian serta kekayaan warisan budaya yang perlu terus dipelihara oleh semua lapisan masyarakat.

“Sempena sambutan Hari Kaamatan, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya. Semoga perayaan ini menjadi wadah untuk mengeratkan perpaduan, memupuk semangat muafakat serta menghargai warisan budaya yang menjadi kebanggaan kita bersama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya sempena Hari Kaamatan 2026.
Menurut beliau, rakyat perlu terus memelihara keharmonian, mengamalkan sikap saling menghormati antara kaum dan budaya serta berganding bahu dalam usaha membangunkan masyarakat yang lebih maju dan sejahtera.
Awang Aslee turut mengucapkan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan” kepada seluruh masyarakat yang meraikan perayaan tersebut.
Hari Kaamatan yang disambut pada 30 dan 31 Mei setiap tahun merupakan perayaan penting masyarakat Kadazandusun dan Murut di Sabah sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian serta simbol perpaduan rakyat negeri itu. – UMNO Online
