Kaamatan Lambang Perpaduan Dan Keharmonian Rakyat Sabah – Jafry Ariffin
KOTA KINABALU, 30 Mei – Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memelihara semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026.
Dalam perutusannya, beliau mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya dengan tema “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian.”

Menurut beliau, Pesta Kaamatan bukan sahaja simbol kesyukuran atas hasil tuaian dan rezeki yang dikurniakan, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara kaum serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang latar belakang.
“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini membawa keberkatan, mempererat perpaduan dan mengukuhkan keharmonian dalam kalangan seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut berharap semangat yang dizahirkan melalui sambutan Kaamatan akan terus menyatukan masyarakat serta menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan Sabah yang lebih makmur dan sejahtera.
Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun merupakan antara perayaan utama di Sabah dan mencerminkan kekayaan budaya serta warisan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu. – UMNO Online
