Kaamatan, Gawai Lambang Perpaduan Dan Kebersamaan Malaysia MADANI – Azalina
KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh masyarakat di Sabah dan Sarawak yang meraikannya.
Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata, Tadau Kaamatan dan Hari Gawai bukan sekadar perayaan menuai hasil, malah menjadi simbol kesyukuran, perpaduan serta semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, nilai-nilai yang dibawa oleh kedua-dua perayaan tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keharmonian, saling menghormati dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bukan sekadar perayaan menuai hasil, tetapi ia juga menjadi lambang kesyukuran, perpaduan dan semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan Malaysia MADANI,” katanya dalam ucapan sempena sambutan kedua-dua perayaan itu.
Azalina turut mendoakan agar sambutan tahun ini membawa kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh
rakyat, khususnya masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Beliau pada masa sama menzahirkan ucapan tradisi Kaamatan dan Gawai sebagai tanda penghormatan kepada kepelbagaian budaya negara, iaitu “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan” serta “Gayu Guru Gerai Nyamai, Senang Lantang Nguan Menua”.
Katanya, kepelbagaian budaya dan tradisi yang diraikan bersama merupakan aset penting dalam memperkukuh perpaduan serta membina masa depan negara yang lebih makmur dan sejahtera. – UMNO Online
