UMNO Negeri Sembilan Hargai Peranan Media Sempena HAWANA 2026
SEREMBAN, 29 Mei – UMNO Negeri Sembilan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga media tanah air sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang diraikan pada 29 Mei setiap tahun.
Menurut kenyataan UMNO Negeri Sembilan di facebook, tarikh tersebut mempunyai makna yang cukup besar dalam sejarah kewartawanan negara apabila akhbar Utusan Melayu mula diterbitkan pada 29 Mei 1939, sekali gus menjadi antara medium terawal yang membawa suara rakyat, membangkitkan kesedaran bangsa dan menyemarakkan semangat perjuangan tanah air.

Katanya, semangat kewartawanan yang lahir daripada keberanian dan berpaksikan kebenaran itu terus menjadi asas penting dalam dunia media sehingga ke hari ini.
“UMNO Negeri Sembilan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga media yang saban hari menggalas amanah besar demi memastikan rakyat memperoleh maklumat yang tepat, sahih dan berimbang,” menurut kenyataan itu.
Penghargaan tersebut ditujukan kepada para wartawan, jurugambar, jurukamera, penyunting, penerbit serta seluruh tenaga kerja media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
UMNO Negeri Sembilan turut menyifatkan pengamal media bukan sekadar pelapor berita, malah merupakan penjaga memori bangsa, perakam sejarah negara dan saksi kepada perjalanan masyarakat dalam pelbagai era serta cabaran.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam dunia yang semakin dipenuhi lambakan maklumat, fitnah dan manipulasi, tugas mempertahankan kebenaran dan etika kewartawanan menjadi semakin mencabar.
Namun, warga media terus menunjukkan profesionalisme, keberanian dan dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat dan negara.
“Terima kasih kerana terus memilih fakta daripada sensasi. Terima kasih kerana terus mempertahankan etika dalam dunia yang semakin mencabar. Terima kasih kerana terus menjadi suara yang menyambungkan rakyat dengan kebenaran,” kata UMNO Negeri Sembilan.
HAWANA disambut setiap tahun bagi menghargai sumbangan besar pengamal media dalam pembangunan negara serta memperkukuhkan peranan kewartawanan sebagai institusi penting dalam sistem demokrasi dan masyarakat bermaklumat. – UMNO Online
