Penyertaan Orang Muda Serlah Semangat Gotong-Royong Dalam Korban Perdana Kota Tinggi
KOTA TINGGI, 29 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melahirkan rasa bangga terhadap penglibatan golongan muda dalam Program Korban Perdana Parlimen Kota Tinggi 2026 yang berlangsung di Dewan Terbuka Felda Lok Heng Barat, di sini, semalam.
Menurut beliau yang juga Menteri Pertahanan, penyertaan aktif anak muda dalam program berkenaan membuktikan nilai gotong-royong dan semangat kemasyarakatan masih kukuh diamalkan dalam masyarakat.

“Saya amat berbangga melihat penyertaan orang muda pada program kali ini. Ia jelas menunjukkan cerminan masyarakat yang masih menjunjung tinggi semangat gotong-royong dan kemasyarakatan,” katanya.
Program hasil kerjasama UMNO Bahagian Kota Tinggi dan DUN Johor Lama itu memasuki tahun keempat penganjurannya dan tahun ini giliran kawasan Johor Lama menjadi tuan rumah.
Beliau berkata, program tersebut bukan sahaja menjadi ibadah korban tahunan sempena Aidiladha, malah turut menjadi medium memperkukuhkan perpaduan serta memupuk nilai pengorbanan dan kesyukuran dalam kalangan masyarakat setempat.
Secara keseluruhan, sebanyak 16 ekor lembu diperuntukkan bagi program tahun ini dengan 12 ekor daripadanya
disembelih untuk diagihkan kepada penduduk dan golongan memerlukan di sekitar kawasan terbabit. – UMNO Online
