KUSKOP Tinjau Ekosistem Startup Thailand Di True Digital Park
KUALA LUMPUR, 29 Mei — Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin telah mengadakan lawatan kerja ke True Digital Park, antara hab teknologi dan inovasi digital terbesar di Thailand yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem startup dan ekonomi digital negara itu.
Ujarnya, lawatan tersebut memberi peluang kepada delegasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meneliti perkembangan ekosistem startup Thailand, pendekatan pembangunan bakat digital menerusi True Digital Academy, serta model latihan keusahawanan digital dan penciptaan kandungan sosial melalui platform TrueID.

Menurut Mohamad, pelbagai perkongsian dan pengalaman yang diperoleh sepanjang sesi pembentangan serta lawatan tapak itu amat bernilai dalam memperkukuh agenda transformasi digital negara khususnya dalam sektor keusahawanan dan koperasi.
“Lawatan ini membuka ruang untuk kita memahami dengan lebih dekat bagaimana Thailand membangunkan ekosistem startup yang progresif dan berdaya saing.
Pendekatan mereka dalam pembangunan bakat digital serta latihan keusahawanan wajar dijadikan rujukan dalam memperkasa usahawan tempatan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau berkata, KUSKOP komited untuk terus memperluas usaha melahirkan lebih ramai usahawan digital, bakat muda berkemahiran tinggi serta perusahaan koperasi dan PMKS yang lebih bersedia mendepani perubahan landskap ekonomi digital global.
“Kita mahu memastikan usahawan dan koperasi di Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan global. Kerjasama strategik dan perkongsian ilmu seperti ini penting untuk memperkukuh daya tahan serta daya saing ekonomi negara,” katanya lagi. – UMNO Online
