Kerajaan Johor Tambah Baik Proses Penyerahan BKJ
JOHOR BAHRU, 29 Mei — Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan segera bagi melancarkan proses penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat, khususnya melibatkan kategori penerima yang ramai seperti warga emas dan suri rumah.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan BKJ Fasa Keempat bagi meneliti pelaksanaan bantuan serta mengambil kira pandangan dan maklum balas rakyat.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum setiap pandangan dan maklum balas yang diberikan. Sehubungan itu, beberapa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan segera bagi memastikan bantuan ini dapat disampaikan dengan lebih teratur, mudah dan selesa kepada penerima,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Menurut beliau, tempoh penyerahan BKJ akan dilanjutkan sehingga 28 Jun 2026 bagi memberi lebih ruang dan masa kepada penerima mendapatkan bantuan tersebut.
Selain itu, jumlah kaunter semakan dan bayaran turut akan ditambah mengikut nisbah penerima di setiap lokasi. Bagi lokasi yang melibatkan lebih 3,000 penerima, sekurang-kurangnya 35 kaunter semakan dan 35 kaunter bayaran akan disediakan, manakala lokasi melibatkan 2,000 penerima ke bawah akan mempunyai sekurang-kurangnya 10 kaunter semakan dan 10 kaunter bayaran.
Jelasnya, kaunter aduan dan pertanyaan juga akan diwujudkan bagi memudahkan urusan penerima selain terus berusaha mengurangkan kesesakan dengan tempoh operasi penyerahan bantuan turut akan dilanjutkan sehingga 12 jam, khususnya di daerah Johor Bahru.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan kesesakan serta memberi lebih keselesaan kepada penerima, terutamanya warga emas,” katanya.
Kerajaan Negeri turut menyediakan ruang menunggu di lokasi yang mempunyai jumlah penerima tinggi bagi memastikan keselesaan orang ramai sementara menunggu giliran semakan.

Bagi memudahkan proses semakan dan bayaran, penerima hanya perlu membawa kad pengenalan sebelum bayaran dibuat.
Dalam pada itu, wakil waris terdekat juga dibenarkan mengambil bantuan bagi pihak penerima yang tidak berupaya hadir. Sekiranya tiada waris, Kerajaan Negeri akan menghantar bantuan terus ke rumah penerima yang layak.
Onn Hafiz berkata, Southern Volunteers juga akan digerakkan untuk membantu warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang hadir di lokasi penyerahan bantuan.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan rayuan BKJ akan dibuka bermula 1 Julai 2026 bagi memberi peluang kepada individu yang layak tetapi belum tersenarai untuk membuat semakan dan permohonan semula.
“Saya sedar dan insaf bahawa setiap bantuan yang disampaikan membawa harapan kepada penerima, khususnya mereka yang benar-benar memerlukan. Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperbaiki dan menambah baik proses pelaksanaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berharap segala usaha penambahbaikan itu dapat memastikan proses penyerahan BKJ berjalan lebih lancar agar manfaatnya benar-benar sampai kepada Bangsa Johor. – UMNO Online
