Jangan Persoal Jasa BN Dalam Menjamin Kestabilan Politik Negara – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa semua pihak perlu mengiktiraf peranan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Beliau berkata, kenyataan pihak tertentu yang mempertikaikan pendirian UMNO dan BN ketika ini seolah-olah melupakan realiti pembentukan kerajaan selepas PRU apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah.

“Jangan sembang soal ‘kacang lupakan kulit’, kerana hakikatnya semua pihak tahu siapa yang membantu memastikan kestabilan politik selepas PRU lalu,” katanya berkaitan hal terbabit.
Menurut beliau, sokongan BN ketika itu dibuat demi kepentingan negara serta bagi memastikan kestabilan politik dapat dipulihkan selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Dr Akmal berkata, pembentukan kerajaan perpaduan bukan dibuat atas kepentingan politik semata-mata, sebaliknya demi mengelakkan ketidaktentuan politik berpanjangan yang boleh menjejaskan rakyat dan negara.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa keputusan UMNO untuk mempertimbangkan gerak kerja secara solo pada pilihan raya akan datang tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa.
Katanya, BN tidak pernah terikat dengan mana-mana perjanjian untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN atau PRU akan datang.
“Semua pihak perlu menghormati pendirian dan hala tuju politik masing-masing tanpa perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan dalam kerajaan,” katanya lagi. – UMNO Online
